PETALING JAYA: “Siapa beranu sentuh Chot saya ini?” Demikian kata pelakon, Nur Fazura mempertahankan sahabatnya yang dikenali sebagai Chot selepas individu itu bertubi-tubi menerima kecaman di media sosial.
Menurut Fazura, Chot bukan sekadar sahabat, malah dia antara tulang belakang yang terkuat dalam hidupnya bersama anak perempuannya, Nur Fatima Aisya.
“Dia sudah bersama saya selama 17 tahun. Menjaga Fatima dari dalam perut saya juga.
“Menjadi satu-satunya sosok ‘lelaki’ di dalam rumah saya selama ini yang ada sifat tanggungjawab belikan susu, lampin dan segala keperluan Fatima.
“Ganti bulb lampu hingga tolong tukar tayar kereta. Orang lain pun tak mampu nak buat,” katanya.
Fazura menulis perkara tersebut di ruangan komen seorang pengguna media sosial di Threads.
Tidak terhenti di situ, pelakon filem Pisau Cukur itu tegas menasihatkan orang ramai untuk menjaga kata-kata apabila bercakap tentang seseorang kerana bimbang akan berbalik pada diri sendiri.
“Bila Fatima sakit, Chot juga yang pandu kereta. Jadi hati-hati bila bercakap, jangan sampai akan makan diri sendiri pula,” ujarnya.
Terdahulu nama Chot menjadi bualan dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan tentang hubungan rapatnya bersama Fazura.










