KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad berpendapat, tiada salahnya orang ramai membuat persiapan Hari Raya lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan menjelang sambutan Aidilfitri.
Sherry atau nama sebenarnya Sharifah Mariam Syed Abdullah Al-Hadad, 41, berkata, dia sendiri lebih selesa menyelesaikan pembelian kelengkapan Hari Raya seawal permulaan Ramadan kerana perlu menguruskan pelbagai perkara lain sepanjang bulan tersebut.
Menurutnya, sebelum ini dia juga pernah membuat persiapan pada saat akhir termasuk membeli pakaian raya dan tiket penerbangan, namun pengalaman itu mendorongnya untuk lebih membuat perancangan rapi.
“Saya sendiri pada awal Ramadan sudah menyiapkan semua kelengkapan termasuk membeli baju raya. Dahulu saya buat persiapan pada saat akhir seperti membeli baju dan tiket kapal terbang.
“Namun kerana saya menguruskan banyak perkara berkaitan keluarga, saya merasakan lebih baik semua persiapan diselesaikan lebih awal. Pada saya, membuat persiapan awal merupakan satu tindakan yang bijak,” katanya.
Sherry berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Raya Astro 2026 yang berlangsung di Pavilion Hotel Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Sherry turut menjelaskan bahawa membeli kelengkapan lebih awal memberi kelebihan kepada pembeli sekiranya barangan yang dibeli mengalami kerosakan atau tidak menepati kehendak.
Katanya, keadaan tersebut memberi ruang kepada pengguna untuk memulangkan atau menukar barangan sebelum tiba Hari Raya.
“Kelebihan membeli awal ialah jika terdapat kerosakan pada barangan, kita masih sempat menukar atau memulangkannya kepada penjual sebelum raya.
“Bagi saya, tidak menjadi masalah untuk membuat persiapan awal. Namun yang penting, setiap orang perlu bijak merancang perbelanjaan agar tidak berbelanja secara berlebihan semata-mata untuk menyambut Hari Raya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sama ada membuat persiapan awal atau pada saat akhir bukanlah satu kesalahan, namun pengguna perlu sentiasa berhemah ketika berbelanja.










