Aduhai, apabila Cik Bunga dengar cerita ini, terus rasa macam tidak percaya pun ada. Iyalah, kumpulan legenda yang sudah lebih tiga dekad menghiburkan peminat dengan lawak bersahaja tiba-tiba pula dikatakan sedang berdepan krisis dalaman.
Menurut bisik-bisik yang sampai ke telinga Cik Bunga, kumpulan Senario yang kita semua kenal itu khabarnya kini berada di ambang perpecahan. Malah ada yang kata, konsert Senario Last Kopek yang bakal berlangsung pada bulan April nanti mungkin menjadi persembahan terakhir mereka sebagai sebuah kumpulan.
Kalau betul cerita ini, memang sayu hati peminat setia mereka.
Cik Bunga difahamkan, hubungan antara anggota kumpulan itu sekarang dikatakan agak berantakan. Ada pihak yang mendakwa berlaku salah faham dan perbezaan pandangan antara mereka.
Biasalah, apabila masing-masing sudah lama bersama dan ada pengalaman sendiri, tentu ada idea dan pendirian yang tidak sama.
Bak kata orang, kepala tidak sama, rambut saja yang sama hitam.Sebenarnya, cerita mengenai kemungkinan perpecahan kumpulan ini bukanlah sesuatu yang baru.
Dari dulu lagi, sekali-sekala akan timbul khabar kononnya ada anggota yang tidak lagi sependapat atau mempunyai haluan berbeza dalam kerjaya. Namun setakat ini, mereka masih lagi berdiri atas nama yang sama, Senario.
Cik Bunga faham, 30 tahun dalam industri seni bukan tempoh yang singkat. Banyak pahit manis, jatuh bangun dan cabaran yang tentu pernah mereka lalui bersama.
Dari zaman kaset, filem komedi box office sehinggalah ke pentas konsert besar, semuanya menjadi sejarah yang tidak mungkin mudah dipadam.
Sebab itulah Cik Bunga berharap sangat kalau benar ada sedikit keretakan di antara mereka, biarlah ia dapat diperbaiki. Sayang rasanya kalau sebuah kumpulan yang sudah begitu lama bertapak akhirnya berpisah hanya kerana salah faham yang mungkin boleh diselesaikan.
Apa pun, sama ada konsert Last Kopek itu benar-benar akan menjadi pentas terakhir atau sekadar nama yang mencuit hati, peminat tentu berharap ia bukanlah noktah kepada perjalanan Senario.
Cik Bunga doakan semoga segala yang keruh dapat dijernihkan. Lagi pun, legenda seperti mereka bukan mudah untuk diganti.











