KITA bagai hidup di zaman seolah-olah keganasan, pergaduhan dan perang lebih mudah diperjuangkan berbanding kedamaian. Angka-angka mereka yang terkorban akibat letupan, tembakan dan keganasan semakin membimbangkan. Di waktu inilah, kita memerlukan suara-suara lantang mereka yang berpengaruh untuk mengingatkan orang ramai tidak ada jalan keluar yang lebih baik jika kita saling berbunuh.
Perang tidak hanya merugikan satu pihak, malah satu dunia akan turut menanggung akibatnya baik kematian, hingga peningkatan suhu bumi apabila memandangkan alam semula jadi tercemar hingga peningkatan harga minyak, ekonomi kucar kacir akibat perebutan kuasa.
Berikut kami senaraikan antara selebriti yang sejak dahulu pernah bangkit bersuara memperjuangkan kedamaian walau mereka tahu reputasi dan populariti mereka di Hollywood boleh terancam.
Mark Ruffalo
Bukan sahaja dikenali sebagai pelakon Hollywood, tetapi juga sebagai aktivis yang sering menggunakan pengaruhnya untuk memperjuangkan keamanan, keadilan sosial dan hak kemanusiaan. Ruffalo secara terbuka menyeru gencatan senjata dalam konflik di Gaza. Beliau merupakan selebriti yang lantang menyokong gerakan Artists4Ceasefire yang terdiri daripada artis dan pembikin filem yang menuntut penghentian perang, bantuan kemanusiaan kepada orang awam, serta pembebasan tebusan.
Angelina Jolie
Siapa yang tidak kenal dengan Angelina Jolie yang juga duta Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Sepanjang menjadi duta, Jolie mempromosi kemanusiaan khususnya setelah melawat kawasan konflik seperti yang dihadapi pelarian di Afghanistan, Syria, Iraq dan Afrika. Dalam lawatan tersebut, Jolie bertemu pelarian, mendengar pengalaman mereka, dan membawa isu mereka kepada pemimpin dunia supaya bantuan kemanusiaan dan perlindungan diberikan. Dalam ucapannya di forum antarabangsa, beliau untuk menyeru supaya orang awam terutama wanita dan kanak-kanak dilindungi dalam konflik bersenjata.
Susan Sarandon
Beliau pernah menjadi duta untuk Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang membantu meningkatkan kesedaran mengenai kanak-kanak yang terjejas oleh peperangan, kemiskinan dan krisis kemanusiaan. Bukan itu sahaja, Sarah pernah menyertai perhimpunan anti-perang semasa terjadinya perang Amerika Syarikat dan Iraq pada 2003. Beliau percaya konflik antarabangsa sepatutnya diselesaikan melalui dialog dan diplomasi.
Riz Ahmed
Merupakan seorang pelakon, rapper dan aktivis British yang sering memperjuangkan keamanan serta hak masyarakat minoriti. Ahmed menyokong usaha membantu pelarian dan mangsa peperangan. Beliau pernah bekerjasama dengan organisasi kemanusiaan seperti International Rescue Committee untuk meningkatkan kesedaran mengenai penderitaan pelarian akibat konflik di pelbagai negara. Melalui kempen dan media sosial, beliau mengajak masyarakat dunia membantu menyediakan perlindungan, pendidikan dan bantuan kemanusiaan kepada mereka.
Dua Lipa
Keluarga Dua Lipa berasal dari Kosovo dan pernah berpindah kerana konflik di rantau tersebut. Pengalaman ini menjadikan beliau lebih peka terhadap penderitaan pelarian dan mangsa peperangan. Sebelum ini, Dua Lipa secara terbuka menyeru gencatan senjata kemanusiaan dalam konflik Gaza dan menggesa pemimpin dunia bertindak untuk menghentikan keganasan. Beliau juga menandatangani surat terbuka bersama ramai artis lain yang meminta kerajaan Amerika Syarikat menyokong usaha menghentikan pengeboman dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.










