PETALING JAYA: “Tak perlu layan orang gila itu di Threads tersebut. Saya sudah pun membuat laporan polis, dan individu di sebalik akaun itu sebenarnya seorang lelaki.”
Demikian kata pelakon Datin Intan Najuwa yang memaklumkan dirinya sudah membuat laporan polis terhadap individu yang didakwa mengganggunya menerusi beberapa hantaran di Threads.
Menurut Intan, individu tersebut juga sudah lama mengganggu ketenteramannya sejak beberapa bulan lalu bahkan, sanggup mencipta akaun palsu di media sosial.
“Dia sudah berbulan-bulan mengganggu saya. Bukan sahaja dia mencipta banyak akaun palsu untuk spam dan mengganggu saya, malah dia sanggup menelefon pejabat Polo Club tanpa henti apabila dia tahu saya berada di sana, semata-mata untuk mengganggu,” tulisnya di Threads.
Enggan perkara itu berlarutan, pelakon drama Jesnita itu nekad menyerahkan urusan tersebut kepada pihak berkuasa.
“Perkara ini berlaku hampir setiap hari. Jadi saya sudah membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Intan menjelaskan perkara itu susulan wujud sebuah akaun palsu di Threads yang menggunakan namanya @intannajuwadatin dan mengutuk suami Intan iaitu Datuk Asraf Azman.










