KUALA LUMPUR: Pelakon versatil, Catriona Ross atau lebih mesra disapa Kak Cat menzahirkan pandangan penuh makna mengenai Aidilfitri apabila tampil sebagai wajah utama kempen Raya Nu Ideaktiv tahun ini.
Menurut Catriona, , sambutan Syawal bukan sekadar perayaan yang dihiasi kesempurnaan luaran, sebaliknya lebih mendalam dan berkait rapat dengan hubungan sesama manusia dan nilai kasih sayang.
“Bagi saya, Raya sentiasa tentang manusia, tentang kenangan yang kita bawa, momen yang kita cipta dan kasih sayang yang sentiasa menemukan kita kembali,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam kempen Bila Bersama, Lagi Jadi, Catriona berkata, dia tertarik dengan pendekatan yang diambil Ideaktiv yang menekankan kejujuran dalam penceritaan
“Apabila Ideaktiv mendekati saya, saya melihat sesuatu yang sangat dekat di hati. Kempen ini tidak cuba menjadi sempurna, tetapi memilih untuk menjadi jujur.
“Dalam dunia hari ini, kita sering rasa perlu tampil kuat dan sempurna. Tetapi hakikatnya, ramai yang melalui cabaran masing-masing dalam diam,” ujarnya.
Tambah Catriona,sekiranya perkongsiannya mampu memberi kesan walau kepada seorang individu, itu sudah cukup bermakna buat dirinya.
“Jika melalui perkongsian ini ada yang merasa difahami, atau tidak lagi keseorangan, itu sudah cukup bermakna bagi saya.
“Kerana bila bersama, kita bukan sekadar meraikan, kita juga saling menguatkan,” katanya lagi.
Dalam nada yang sama, Catriona turut berkongsi bahawa pengalaman sebagai ibu, termasuk membesarkan anak autisme, banyak membentuk cara beliau melihat kehidupan dan hubungan kekeluargaan.
“Kehidupan tidak selalu mudah, tetapi di situlah kita belajar tentang empati, sabar dan menerima. Raya menjadi waktu untuk kita kembali kepada nilai-nilai itu,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata pemilihan Catriona Ross sebagai duta adalah berasaskan keupayaannya menyentuh hati masyarakat secara tulus.
Katanya, personaliti itu bukan sahaja dikenali, malah dirasai kehadirannya oleh pelbagai lapisan komuniti.
Sebagai wajah kempen, Catriona bakal menghidupkan pelbagai kandungan merentas platform Ideaktiv termasuk Rasa, Pa&Ma, Mingguan Wanita dan Media Hiburan, daripada perkongsian ringan hingga kisah menyentuh emosi.
Orang ramai juga boleh menyaksikan sisi lebih dekat beliau menerusi episod khas Borak Pa&Ma Raya yang akan bersiaran pada hari pertama Aidilfitri, jam 8.30 malam di Facebook dan YouTube Pa&Ma.










