Sikap pemurah dan ringan tulang pelakon serta pengacara terkenal, Sharifah Shahirah,51, dalam membantu golongan memerlukan bukanlah perkara baharu dalam industri hiburan tanah air.
Malah, keprihatinannya itu sering menjadi perhatian apabila dia dilihat konsisten menghulurkan bantuan, sama ada kepada masyarakat umum mahu pun rakan-rakan artis yang berdepan kesusahan.
Menurut Shahirah, atau lebih mesra disapa Shiera, keinginan untuk membantu datang secara semula jadi tanpa mengharapkan sebarang balasan. Baginya, setiap peluang untuk berkongsi rezeki adalah satu tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan.
“Saya memang suka membantu, lebih-lebih lagi apabila melihat orang berada dalam kesusahan. Kadang-kadang kita sendiri tak tahu cerita sebenar mereka, jadi bila ada peluang, kita cuba hulurkan bantuan setakat yang mampu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Shiera, golongan artis juga tidak terkecuali daripada berdepan kesempitan hidup, terutama apabila tiada tawaran kerja atau diuji dengan masalah kesihatan. Justeru, dia tidak menolak untuk membantu rakan-rakan seindustri yang datang meminta pertolongan.
“Kalau ada rakan artis yang betul-betul terdesak dan datang mencari saya, insya-Allah saya akan bantu. Tetapi saya juga perlu tengok keadaan. Bukan semua perkara kita boleh selesaikan seorang diri,” jelasnya.
Namun begitu, Shiera mengakui ada ketikanya dia sendiri tidak cukup tangan untuk membantu semua pihak yang memerlukan. Dalam situasi tersebut, dia mengambil pendekatan lebih tersusun dengan menyalurkan kes kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak yang lebih berkemampuan untuk menguruskan bantuan secara menyeluruh.`
“Ada masa saya pun tak mampu nak bantu semua orang. Apabila jadi macam itu, saya akan minta mereka beri maklumat lengkap supaya saya boleh salurkan kepada NGO. Biar pihak yang lebih arif datang tengok keadaan sebenar dan bantu dengan cara yang betul,” ujarnya.

Menurutnya lagi, langkah tersebut penting bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada golongan sasaran serta mengelakkan sebarang salah guna.
“Saya tak boleh terus bagi duit tanpa semakan. Kita kena pastikan bantuan itu sampai kepada orang yang betul-betul memerlukan. Sebab itu saya lebih selesa libatkan NGO, mereka ada sistem dan cara kerja yang lebih teratur.
“Saya pun tahu, rakyat Malaysia sebenarnya sangat pemurah. Kalau kita betul-betul susah, ramai yang akan tampil membantu. Tapi janganlah ambil kesempatan. Kita bantu kerana ikhlas, jadi biarlah ia digunakan dengan cara yang betul,” katanya.
Mengulas lanjut, ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, banyak bantuan yang disalurkan olehnya tidak didedahkan kepada umum kerana percaya keikhlasan lebih utama daripada publisiti.
“Banyak sebenarnya yang saya bantu, tapi saya tak kongsi pun. Bukan saya seorang, ramai lagi artis lain yang buat perkara sama secara senyap. Kita buat kerana tanggungjawab, bukan untuk ditunjuk-tunjuk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Shiera juga menekankan kepentingan mendidik anak-anak mengenai nilai memberi dan berkongsi rezeki sejak kecil agar mereka membesar dengan sifat empati terhadap masyarakat sekeliling.
“Apa yang kita buat, anak-anak akan tengok. Jadi saya ajar mereka kalau nak memberi, beri ikut kemampuan. Tak perlu berlebih-lebihan, yang penting ikhlas.
“Kadang-kadang bantuan kecil daripada ramai orang itulah yang menyelamatkan hidup seseorang. Jadi kalau kita tak mampu buat besar, buatlah sedikit. Yang penting, kita usaha bantu,” katanya mengakhiri bicara.











