KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan penyanyi rap muda, Cik B mengakui sering disalah anggap sebagai seorang yang garang hanya kerana raut wajahnya yang dikatakan kelihatan seperti ‘gangster’.
Menurut Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, tanggapan tersebut sering timbul dalam kalangan individu yang belum mengenalinya secara dekat.
“Memang ramai cakap muka saya nampak gangster. Sebelum kenal saya, mereka ingat saya garang dan jenis suka marah.
“Saya rasa saya okey saja. Saya sendiri tengok muka saya pun, mungkin nampak macam itu. Tapi sebenarnya tidak, saya bukan macam itu,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sebuah acara anjuran Astro baru-baru ini.
Tambahnya lagi, dia tidak pernah berkecil hati dengan tanggapan sedemikian kerana menganggap ia sekadar pandangan luaran.
“Saya tak kecil hati pun. Bagi saya, itu persepsi orang saja. Bila dah kenal, mereka tahu saya macam mana,” katanya.
Dalam masa sama, Cik B turut berkongsi bahawa hubungan rapatnya bersama rakan-rakan dalam projek Budak Gen Z juga bermula daripada salah faham yang sama.
“Mula-mula mereka pun ingat saya ni garang sebab muka. Tapi bila dah kenal, barulah mereka tahu saya sebenarnya okey,” jelasnya.
Selain itu, Cik B yang kini aktif dalam bidang muzik turut menerima respon positif terhadap lagu nyanyiannya berjudul Nak Tu Nak Ni.
Katanya, dia tidak menyangka lagu tersebut mendapat sambutan baik daripada pendengar.
“Sejujurnya saya ingat lagu itu tak menjadi. Saya buat pun sekadar suka-suka. Tapi Alhamdulillah, 98 peratus respon adalah positif.
“Itu bukan genre saya sepenuhnya. Saya masih mencari ‘feel’ dan identiti sendiri dalam muzik,” ujarnya.











