Projek ‘last minute’ jadi realiti, Zoey Rahman pun ada lagu raya sendiri - Utusan Malaysia

Projek ‘last minute’ jadi realiti, Zoey Rahman pun ada lagu raya sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan usahawan Zoey Rahman kini mencuba langkah baharu dalam dunia muzik apabila tampil menulis lirik dan merakamkan lagu raya berjudul Kita Dah Raya.

Lebih menarik, lagu tersebut bukan sahaja menampilkan Zoey sebagai penyanyi, malah menjadi pengalaman pertamanya menulis lirik lagu yang dihasilkan secara spontan selepas mendapat cadangan daripada pengurusnya.

Menurut Zoey, semuanya bermula apabila pengurusnya, Zafar, memintanya menulis beberapa idea mengenai suasana Aidilfitri dari perspektif golongan Gen Z yang sedang bercinta.

“Pada awalnya pengurus saya hanya minta saya tulis beberapa poin mengenai suasana raya untuk Gen Z yang sedang bercinta. Selepas saya siapkan, saya serahkan kepadanya dan dia ubah sedikit sebelum dihantar kepada komposer, Riaraiba.

“Keesokan harinya dia hantar mesej WhatsApp beritahu itu adalah demo lagu raya dan saya perlu menyanyikannya secara duet. Masa itu memang otak saya ‘jem’ sekejap, tetapi selepas dengar dua kali, saya terus rasa lagu itu sedap dan fikir mengapa tidak saya cuba,” katanya.

Menurut Zoey, pada peringkat awal pengurusnya mencadangkan penyanyi Anis Suraya sebagai pasangan duet. Namun selepas beberapa perbincangan, mereka terpaksa mencari penyanyi lain memandangkan masa semakin suntuk menjelang Ramadan.

Katanya, idea kemudian muncul untuk berduet dengan Wani Syaz atau Elliza Razak sebelum akhirnya Elliza dipilih dan bersetuju menjayakan projek tersebut.

“Disebabkan masa agak singkat, kami terus membuat persiapan ringkas dan masuk ke studio untuk merakamkan lagu ini,” katanya.

Proses rakaman lagu Kita Dah Raya mengambil masa hampir enam jam dan dilakukan di Platinum Studio, Damansara Perdana dengan bantuan jurutera bunyi, Mr. Choy atau lebih dikenali sebagai Illegal serta bimbingan vokal oleh Nine Phyne Ballerz.

Sementara itu, Elliza Razak berkata dia teruja apabila menerima pelawaan untuk menyertai projek tersebut kerana sudah lama tidak bertemu Zoey.

“Mula-mula Zafar telefon dan tanya sama ada saya mahu sertai projek ‘gila’ yang dibuat di saat akhir. Apabila tahu ia lagu raya duet dengan Zoey, saya terus teruja kerana kami sudah lama berkawan tetapi lama tidak berjumpa.

“Apabila kami bertemu semula untuk berbincang, banyak kenangan lama muncul semula. Disebabkan kami sudah rapat, chemistry untuk berduet memang sudah ada dan memudahkan proses rakaman,” katanya.

Menurut Elliza, dia juga membantu memberi panduan vokal dan semangat kepada Zoey sepanjang sesi rakaman.

“Pada awalnya Zoey agak gementar, tetapi selepas beberapa ketika dia semakin selesa dan proses rakaman berjalan lancar,” katanya.

Lagu Kita Dah Raya ciptaan Riaraiba dengan lirik oleh Zoey Rahman telah dilancarkan di semua platform digital bermula 6 Mac 2026.

Pembikinan video muzik pula dijadualkan berlangsung di studio Rusa Music pada 12 Mac ini sebelum dilancarkan di saluran YouTube Rusa Music dalam masa terdekat.

Zoey berharap lagu tersebut mampu menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Kalau dahulu kita selalu dihiburkan dengan lagu raya Anuar dan Ellina, Suasana Hari Raya. Jadi untuk 2026, biarlah lagu raya gabungan saya dan Elliza, Kita Dah Raya, pula menghiburkan semua.

“Terima kasih kepada Elliza kerana sudi berduet dan percaya pada saya. Harapan kami agar lagu ini mendapat tempat di hati semua golongan dan menjadi antara lagu raya malar segar,” katanya.

Kita Dah Raya diterbitkan oleh ENIM Music dan diedarkan oleh Rusa Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN