Pertahan Gedik Raya, kalau buat lagu lama, siapa mahu dengar? - Ifa Raziah - Utusan Malaysia

Pertahan Gedik Raya, kalau buat lagu lama, siapa mahu dengar? – Ifa Raziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas enam tahun menyepi daripada menghasilkan lagu baharu, penyanyi sensasi Ifa Raziah kembali mencuri perhatian apabila tampil dengan lagu raya berjudul Gedik Raya.

Kemunculan semulanya itu sekali gus menandakan kembalinya penyanyi yang popular dengan lagu Ser Ser Ser ke dalam industri muzik selepas sekian lama memberi tumpuan kepada perniagaan.

Namun, lagu tersebut tidak terlepas daripada kontroversi apabila segelintir netizen mengecam konsepnya yang dianggap tidak sesuai dengan suasana sambutan Hari Raya.Berikut adalah jawapan yang diberikan oleh Ifa khusus buat pembaca Pancaindera.

Mengapa Ifa memilih untuk kembali dengan lagu raya selepas lama tidak berkarya?

Selepas enam tahun tidak mengeluarkan lagu baharu, saya rasa sudah tiba masanya untuk kembali berkarya. Lagu terakhir saya sebelum ini adalah Miss Diva pada tahun 2020 sebelum pandemik Covid-19. Selepas itu saya memberi tumpuan kepada perniagaan Star Vendor sehingga tidak sempat merakam lagu atau berlakon. Tahun ini saya rasa lebih lapang dan mahu kembali aktif menghasilkan karya.

Mengapa memilih tajuk dan konsep ‘Gedik Raya’?

Tajuk Gedik Raya sebenarnya datang daripada perasaan saya sendiri yang teruja untuk kembali menghasilkan lagu. Saya berasa ‘tergedik-gedik’ untuk berkarya semula, jadi saya memberikan tajuk itu kepada komposer Amy UK untuk menghasilkan lagu. Lagu ini juga menjadi permulaan kepada beberapa karya lain yang akan saya keluarkan secara berterusan selepas ini.

Warganet menganggap lagu itu tidak sesuai dengan suasana Hari Raya. Apa komen Ifa?

Sebagai artis, kita perlu mengikuti perkembangan semasa. Kalau saya menghasilkan lagu dengan gaya lama seperti era 1990-an, mungkin orang tidak mahu dengar. Jadi, saya cuba menyesuaikan karya dengan cita rasa generasi sekarang. Bagi saya, lagu raya juga boleh dipersembahkan dengan pendekatan lebih moden dan kreatif.

Ramai juga mempersoalkan konsep video muzik yang dianggap pelik. Mengapa memilih konsep tersebut?

Konsep video muzik Gedik Raya adalah fantasi, iaitu suasana beraya di kayangan. Sebab itu terdapat elemen seperti bulan sabit dan istana. Jika konsepnya di bumi, mungkin saya akan buat di rumah kampung, di sawah padi atau suasana memasak ketupat dan rendang. Tetapi kali ini saya mahu keluar daripada konsep klise yang selalu kita lihat dalam video lagu raya.

Ada yang mendakwa video muzik itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan AI. Betulkah?

Sebenarnya tidak. Penggambaran dilakukan menggunakan teknik green screen dan kesan khas CGI. Bukan semuanya menggunakan AI. Ada beberapa latar seperti istana yang dicipta secara digital kerana sukar untuk mendapatkan lokasi sebenar yang sesuai dengan konsep kayangan.

Bagaimana Ifa menghadapi kecaman di media sosial?

Saya sudah menjangkakan perkara itu. Pada awalnya mungkin ada yang tidak suka kerana mereka tidak dapat menerima saya kembali aktif. Ada juga yang berpendapat usia saya tidak sesuai menyanyikan lagu berkonsepkan generasi muda. Tetapi bagi saya itu perkara biasa dalam industri. Lambat laun orang akan menilai karya itu sendiri.

Adakah Ifa bimbang dengan persaingan kerana banyak lagu raya baharu tahun ini?

Memang ada lebih daripada seratus lagu raya baharu yang akan dikeluarkan tahun ini. Pihak syarikat rakaman juga pernah bertanya sama ada saya yakin untuk bersaing. Namun saya hanya mahu mencuba nasib dan memeriahkan industri muzik. Jika artis lama tidak kembali berkarya, siapa lagi yang akan mewakili generasi tersebut?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN