Pelakon dibayar untuk berlakon, bukan menunggu - Reza Rahadian - Utusan Malaysia

Pelakon dibayar untuk berlakon, bukan menunggu – Reza Rahadian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal Indonesia, Reza Rahadian menyuarakan kebimbangan terhadap budaya kerja di set penggambaran yang menurutnya masih longgar dari segi disiplin masa, khususnya melibatkan tempoh menunggu yang terlalu lama tanpa penjelasan jelas.

Menurut Reza, tanggapan bahawa pelakon sememangnya perlu menunggu sebagai sebahagian daripada tugas tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengekalkan kelemahan dalam sistem kerja produksi.

“Orang selalu mengatakan bahawa kita sebagai pelakon tidak perlu merungut kerana menunggu itu sebahagian daripada kerja. Tetapi bagi saya, persoalannya bukan pada menunggu itu sendiri, sebaliknya kerana kita tidak mempunyai atau tidak berani melaksanakan satu sistem yang adil dan tersusun untuk semua pihak.

“Ini adalah kerja kolaboratif yang memerlukan disiplin bersama, bukan sekadar bergantung kepada alasan bahawa pelakon memang ‘kerjanya menunggu’,” katanya.

Tambah Reza, penggunaan alasan tersebut sebagai mekanisme pertahanan hanya akan mengekalkan budaya kerja yang tidak sihat dalam industri.

“Kita tidak boleh bersembunyi di sebalik alasan itu. Tidak wajar mengatakan bahawa pelakon dibayar untuk menunggu. Saya secara peribadi tidak setuju dengan pandangan itu. Saya dibayar untuk berlakon, bukan untuk menghabiskan masa menunggu tanpa hala tuju yang jelas,” ujarnya tegas.

Reza turut menekankan bahawa isu ini bukan sahaja melibatkan pelakon utama, malah memberi kesan kepada semua pihak termasuk pelakon tambahan dan kru produksi.

“Perkara ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua pelakon, termasuk pelakon tambahan dan juga kru. Jika pada waktu tertentu mereka belum diperlukan, jangan panggil mereka datang terlalu awal. Kadang-kadang pelakon tambahan datang dalam keadaan kelam-kabut, dan layanan terhadap mereka juga kurang memuaskan, malah ada kalanya tidak berperikemanusiaan,” jelasnya.

Reza juga mengakui bahawa menunggu sememangnya sebahagian daripada proses penggambaran, namun menunggu tanpa had dan tanpa komunikasi yang baik adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Ya, menunggu itu sebahagian daripada ekosistem penggambaran. Tetapi jika seseorang perlu menunggu berjam-jam tanpa sebarang penjelasan, saya tidak boleh menganggap itu sesuatu yang normal. Mungkin ada yang boleh menerimanya, tetapi bagi saya, ia bukan amalan yang sihat dan perlu diperbaiki,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN