KUALA LUMPUR: Ketika industri muzik tempatan dibanjiri pelbagai lagu raya setiap kali menjelang Aidilfitri, timbul persoalan mengenai hala tuju karya yang dihasilkan sama ada sekadar mengejar perhatian atau benar-benar membawa nilai kepada masyarakat.
Dalam suasana itu, penyanyi, Sharul Kamal memilih untuk tampil dengan pendekatan berbeza menerusi lagu Duit Raya yang menampilkan kolaborasi bersama Mierul Aiman, dengan penekanan terhadap mesej kesederhanaan yang semakin terhakis dalam kalangan masyarakat hari ini.
Lebih bermakna, karya tersebut merupakan lagu raya pertama Sharul selepas lebih sedekad bergiat aktif dalam industri seni tanah air.
“Alhamdulillah, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan, khususnya kepada Omar K, Aniq Iffat serta Mierul Aiman sendiri kerana sudi berganding bahu menjayakan projek Duit Raya ini. Setelah lebih sepuluh tahun saya berada dalam industri, akhirnya saya berpeluang menghasilkan lagu raya pertama saya.
“Apa yang lebih menggembirakan, sokongan positif daripada rakan industri serta para peminat membuatkan saya melihat usaha kecil kami ini bukan sekadar menghasilkan hiburan, tetapi turut menyampaikan pesanan dan nasihat yang saya kira sangat penting, khususnya ketika musim perayaan.
“Bagi saya, dalam apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan ini, lebih-lebih lagi ketika menyambut Aidilfitri, nilai kesederhanaan itu harus sentiasa menjadi pegangan. Sama ada dari sudut perbelanjaan, percakapan mahupun perbuatan, semuanya perlu berpada dan tidak berlebihan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Sharul, dia tidak pernah meletakkan ukuran kejayaan berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya lebih menitikberatkan kelangsungan dan keikhlasan dalam berkarya.
“Saya sentiasa berpijak pada realiti kehidupan. Bagi saya, selagi apa yang saya lakukan itu terus bergerak dan berkembang, itu sendiri sudah cukup untuk dianggap sebagai satu kejayaan.
“Sekiranya kejayaan hanya diukur berdasarkan jumlah tontonan atau bilangan pengikut di media sosial semata-mata, saya merasakan kita sudah tersasar jauh daripada tujuan asal berkarya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sharul turut melihat fenomena lambakan lagu raya dari sudut yang lebih luas, khususnya terhadap ekosistem industri muzik tempatan.
“Jika dilihat dari perspektif seorang pembikin muzik, situasi ini sebenarnya sihat kerana ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat seni. Apabila banyak lagu dihasilkan, secara tidak langsung ramai pemuzik latar, penyusun muzik, jurutera bunyi serta pihak studio mendapat manfaat dan bayaran setimpal dengan kemahiran serta masa yang mereka curahkan.
“Pada masa sama, setiap individu mempunyai hak untuk menghasilkan karya mengikut kemampuan dan niat masing-masing. Ada yang mungkin menghasilkan lagu raya sebagai kenangan peribadi, dan ada juga yang mempunyai matlamat tertentu.
“Namun begitu, peranan masyarakat juga amat penting dalam menentukan hala tuju industri. Jika perhatian lebih diberikan kepada karya yang kurang berkualiti, maka karya sedemikianlah yang akan terus mendapat tempat. Sebagai pembikin muzik, kami hanya menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dalam kapasiti yang ada,” jelasnya.











