Alahai, kalau sebut nama Aina Abdul, memang tidak sah kalau tiada cerita yang buat netizen berbunga-bunga, bukan? Kali ini, bukan pasal vokalnya yang mampu membuatkan bulu roma meremang di pentas besar, tetapi pasal OOTD ke gym pun boleh jadi topik hangat! Eh, macam mana itu?
Cik Bunga pun teruja bila nampak satu video yang tular di media sosial. Dalam video itu, jelas kelihatan Aina sedang berada di gimnasium. Tapi yang buat ramai ternganga bukan rutin senaman dia, tapi gaya pakaiannya.
Biasanya kalau sebut pakaian ke gym, ramai bayangkan pakaian ketat, menampakkan bentuk badan, dan kadang-kadang, maaf cakap, agak mencolok mata. Tapi Aina? Lain macam. Dia tampil dengan busana yang super modest, longgar, labuh, dan langsung tidak menonjolkan susuk tubuh. Cik Bunga tengok pun rasa nyaman sahaja mata ini. Apatah lagi di bulan puasa begini.
Netizen pun apa lagi, terus membanjiri ruangan komen dengan pujian. Ada yang kata, inilah contoh selebriti yang menjaga aurat walau di mana berada.
Ada juga yang memuji prinsip Aina yang konsisten dengan imejnya, tidak kira di pentas, di majlis rasmi, mahupun ketika bersenam. Iyalah, busana-busana avant garde yang disarung setiap kali ada persembahan pentas itu pun bukannya ketat-ketat sangat bukan?
Bagi Cik Bunga, bukan senang tahu hendak kekalkan identiti diri dalam dunia hiburan ini. Lagi-lagi bila trend sekarang banyak yang berlumba-lumba nak tampil ‘fit’ dengan pakaian sendat. Tapi Aina, tetap dengan pendiriannya.
Yang paling Cik Bunga suka, aura keyakinan Aina itu memang lain macam. Walaupun berpakaian longgar, dia tetap nampak stylish dan elegan. Orang kata, bila kita selesa dengan diri sendiri, apa pun yang kita pakai tetap nampak cantik. Betul tak?









