Nabila Razali terima teguran, penampilan ikut konsep lagu - Utusan Malaysia

Nabila Razali terima teguran, penampilan ikut konsep lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Nabila Razali menerima dengan hati terbuka teguran segelintir pihak yang mempersoalkan perubahan penampilannya sejak kebelakangan ini yang dilihat tampil dengan tudung singkat serta busana jarang.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 34, berkata perubahan dari segi fesyen termasuk pemilihan tudung dibuat bagi menyesuaikan dengan konsep muzik yang dibawakan dalam karya terbaharunya.

Menurutnya, sebagai anak seni, aspek muzik, fesyen dan penampilan sering diselaraskan dengan konsep lagu yang dipersembahkan kepada peminat.

“Saya agak berhati-hati untuk menjawab perkara ini kerana bimbang kenyataan saya disalah tafsir.

“Namun sebagai anak seni, saya sentiasa berkarya bukan sahaja dari segi muzik, tetapi juga fesyen dan penampilan mengikut kesesuaian lagu yang saya keluarkan,” katanya.

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada rakaman program Melodi Raya yang berlangsung di Saloma di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Nabila menjelaskan penampilan yang diketengahkannya kali ini dipilih bagi menepati elemen retro yang dibawa menerusi lagu raya terbaharu berjudul Tak Sabar Nak Raya.

Katanya, konsep tersebut dipilih supaya selari dengan ‘vibe’ atau nuansa muzik yang ingin ditampilkan kepada pendengar.

“Kali ini saya tampil dengan sedikit konsep retro kerana lagu raya saya mempunyai elemen retro. Jadi saya ikut konsep muzik itu, namun tidak bermaksud saya mengetepikan perkara yang salah,” ujarnya.

Dalam pada itu, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata setiap penampilan yang ditampilkan juga melalui perbincangan bersama pasukan pengurusannya bagi memastikan ia sesuai dengan imej yang ingin diketengahkan.

Tambahnya, setiap konsep yang dipilih turut berpandukan rujukan tertentu sebelum diputuskan sebagai gaya rasmi untuk sesuatu karya.

“Sudah tentu saya mempunyai rujukan tersendiri setiap kali mahu tampil dengan sesuatu penampilan. Satu pasukan akan menilai sama ada ia sesuai atau tidak.

“Alhamdulillah, semuanya saya suka dan ia juga selari dengan gaya lagu. Malah penari saya juga sedondon kerana kami memilih penampilan itu berdasarkan konsep muzik tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Nabila mengakui dirinya masih dalam proses memperbaiki diri dan berharap dapat menampilkan sesuatu yang lebih baik pada masa hadapan.

“Saya hanya manusia biasa dan masih mencuba untuk memperbaiki diri. Insya-Allah pada masa akan datang saya akan memperbaikinya lagi.

“Buat masa ini nikmati sahaja lagu Tak Sabar Nak Raya. Selepas ini akan ada lagu baharu bersama penampilan yang baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN