Dalam arus industri muzik yang sering dipenuhi lagu berentak rancak dan komersial, penyanyi berusia 16 tahun, Miya Aulia memilih untuk melangkah berbeza apabila tampil dengan single balada yang sarat emosi, sekali gus mempertaruhkan kekuatan vokal dan penghayatan sebagai taruhan utama.
Pendekatan itu bukan sahaja mencerminkan kematangan seninya, malah memperlihatkan keberanian penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini untuk keluar dari zon selesa demi menyampaikan karya yang lebih dekat dengan jiwa pendengar.
Menurut Miya, pemilihan genre balada bukan sekadar perubahan biasa, sebaliknya satu usaha untuk membuktikan dirinya mampu bergerak dalam pelbagai spektrum muzik tanpa terikat kepada satu gaya sahaja.
“Saya memilih genre balada kali ini kerana ingin membuat kelainan daripada single sebelum ini. Saya juga mahu membuktikan bahawa saya bukan hanya terikat dengan satu genre, sebaliknya mampu menyampaikan pelbagai jenis lagu mengikut keperluan karya dan emosi.
“Bagi saya, setiap genre mempunyai cabarannya tersendiri. Lagu balada juga tidak mudah kerana memerlukan penghayatan emosi yang mendalam supaya mesej sampai ke hati pendengar manakala dangdut pula memerlukan kawalan cengkok dan ritma yang tepat.
“Jadi, apa sahaja genre yang dibawa, semuanya menuntut latihan dan pemahaman yang berbeza,”katanya.

Dalam usaha memperluaskan lagi perjalanan seni, Miya tidak menolak untuk mencuba genre lain termasuk muzik tradisional yang dilihat mampu memperkayakan identitinya sebagai penyanyi.
“Saya sangat berminat untuk mencuba lagu berirama tradisional pada masa akan datang. Ini kerana saya mempunyai impian untuk memiliki koleksi lagu dalam pelbagai genre, termasuk genre yang berakar daripada budaya tempatan,” ujarnya.
Mengakui perjalanan seni tidak mudah, Miya menjadikan penyanyi berpengalaman sebagai sumber inspirasi dalam membentuk kualiti vokal dan profesionalisme dalam industri.
“Antara penyanyi yang menjadi inspirasi kepada saya ialah Ziana Zain dan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Mereka memberi inspirasi kerana kebolehan menyanyikan pelbagai genre dengan baik serta konsisten mengekalkan kualiti vokal dan imej profesional dalam industri,” katanya.
Sehubungan itu, Miya bertekad untuk membina identiti tersendiri sebagai penyanyi yang versatil, namun tetap mengekalkan kejujuran dalam setiap karya yang dipersembahkan.
“Saya ingin membina identiti sebagai penyanyi yang versatil, mampu membawakan pelbagai genre tetapi tetap mengekalkan kejujuran dalam setiap karya.
“Selain itu, saya juga mahu dikenali sebagai penyanyi yang menyampaikan lagu-lagu yang dekat dengan realiti kehidupan, bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga mempunyai nilai emosi dan mesej yang boleh menyentuh hati pendengar,” katanya.
Lebih menarik, single terbaharu Miya berjudul Sunyi turut mengangkat tema sosial mengenai anak terpinggir, satu isu yang disifatkan semakin relevan dalam masyarakat masa kini dan jarang diberi perhatian secara mendalam.

“Tema ini dipilih kerana kisah anak terpinggir sangat dekat dengan realiti masyarakat hari ini. Masih ramai anak-anak yang membesar dengan rasa terabai walaupun tinggal bersama keluarga.
“Saya berharap karya ini dapat membuka mata dan menyentuh hati ibu bapa agar lebih peka terhadap emosi anak-anak, serta memberi kesedaran bahawa perhatian dan kasih sayang sangat penting dalam pembentukan jiwa seorang anak.
“Bagi saya, ibu bapa perlu lebih banyak meluangkan masa untuk mendengar dan berbual dengan anak-anak, bukan sekadar memberi keperluan fizikal. Anak-anak juga memerlukan sokongan emosi, perhatian, dan rasa dihargai. Kadang kala anak tidak meminta lebih, mereka hanya mahu difahami,” katanya.
Dalam pada itu, Miya turut menitipkan nasihat kepada golongan remaja yang berdepan dengan konflik keluarga agar tidak memendam perasaan serta berani mencari ruang untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Saya ingin menasihati remaja agar tidak memendam perasaan seorang diri. Cuba cari ruang untuk meluahkan perasaan kepada individu yang dipercayai seperti rakan, guru, atau ahli keluarga yang lebih memahami.
“Jangan rasa diri tidak berharga kerana setiap orang berhak untuk disayangi dan didengari. Jika keadaan terlalu sukar, mendapatkan bantuan profesional juga bukan sesuatu yang memalukan,” ujarnya.
Single Sunyi nyanyian Miya Aulia kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.









