KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein, mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna apabila dapat meluangkan masa bersama keluarga besar di kampung halaman di Kuala Krai, Kelantan.
Menurut Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina Pom Pom, perancangan pulang ke kampung telah diatur lebih awal memandangkan jadual kerjanya yang padat selepas musim perayaan.
“Kami rancang untuk balik ke Kelantan dalam tempoh lima hari sahaja. Selepas itu, kami akan pulang ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Perak kerana tidak boleh bercuti lama memandangkan komitmen kerja yang menanti. Walaupun sekejap, yang penting dapat berkumpul dengan keluarga, itu yang paling bermakna.
“Setiap kali balik Kelantan memang saya rasa sangat teruja. Keluarga sebelah suami sangat ramai, jadi suasana itu sangat meriah. Bagi saya, Aidilfitri bukan sekadar tentang pakaian atau makanan, tetapi peluang untuk berhimpun, berjumpa dan mengeratkan hubungan, terutamanya kalau sudah lama tidak bersua,” katanya.
Berkongsi mengenai juadah kegemaran, Elly tidak menafikan dirinya cukup menggemari hidangan tradisional Pantai Timur, khususnya nasi dagang yang menjadi antara menu wajib setiap kali pulang ke kampung.
“Kalau balik Kelantan, memang saya akan makan macam-macam, tapi yang paling saya suka sekali ialah nasi dagang. Selain itu, saya juga akan memasak sendiri untuk keluarga. Biasanya waktu petang kami akan makan mi goreng atau hidangan ringkas. Walaupun sibuk, saya memang akan turun ke dapur kerana itu sudah menjadi kebiasaan saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Elly turut berkongsi pengalaman perjalanan pulang ke kampung yang disifatkan lebih lancar kerana suaminya yang bertugas sebagai pendidik.
“Alhamdulillah, kami jarang berdepan dengan kesesakan teruk kerana suami saya seorang guru. Jadi kami boleh merancang perjalanan selepas waktu persekolahan dan jalan masih tidak terlalu sesak. Kami juga lebih selesa memandu sendiri kerana lebih jimat dan memudahkan pergerakan anak-anak.
“Kalau naik kapal terbang, kita perlu fikir kos tambahan seperti sewa kereta. Jadi bagi kami, memandu sendiri lebih praktikal. Sampai sahaja, terus ke kampung tanpa perlu pening fikir hal lain,” katanya lagi.
Mengulas mengenai persiapan raya, Elly berseloroh mengenai jumlah pakaian yang disediakan setiap tahun.
“Bab baju raya memang kami serius juga. Kalau orang lain ada 64 pasang, kami mungkin lebih sedikit. Saya memang suka bergaya, tambahan pula Aidilfitri adalah masa untuk kita tampil cantik dan ceria. Saya juga sempat menemani rakan artis membeli baju, dan memang tahun ini gaya lebih berani seperti colour block,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Elly turut mendedahkan suaminya sebenarnya menerima pelbagai tawaran untuk tampil dalam kandungan media sosial dan kempen komersial, namun memilih untuk kekal low profile.
“Sejujurnya, memang ada banyak tawaran untuk suami saya. Ramai yang berminat kerana setiap kali kami muncul bersama dalam video atau kandungan, sambutannya sangat luar biasa. Ada yang mencecah jutaan tontonan.
“Tapi suami saya dari awal lagi sudah cakap, ‘Tak apa, biar Mama sahaja yang ke depan. Papa tak mahu.’ Dia memang seorang yang sangat merendah diri dan tidak suka menonjolkan diri. Fokus dia hanya pada keluarga dan anak-anak.
“Walaupun begitu, tawaran itu tetap ada dan semakin banyak. Kadang-kadang saya sendiri terkejut kerana ramai yang bertanya dan mahu melihat kami bersama. Cuma buat masa ini, dia lebih selesa berada di belakang tabir dan menyokong saya dari situ,” katanya panjang lebar.
Tambah Elly, keputusan suaminya itu amat dihormati kerana setiap individu mempunyai keselesaan tersendiri dalam mengendalikan perhatian umum.
“Apa pun, saya sangat bersyukur. Dalam dunia saya yang penuh dengan perhatian, suami saya adalah penyeimbang. Dia tidak kejar populariti, tetapi tetap menjadi tulang belakang saya. Itu yang paling penting,” ujarnya.










