Kalau sebut pasal lagu raya tahun ini, Cik Bunga rasa hampir semua orang akan setuju dengan satu perkara yang mana, Aisha Retno memang boleh diklasifikasikan sebagai komposer dan penyanyi genius.
Mana tidaknya, lagu raya terbaharu berjudul Jodoh Lebaran boleh dikatakan sudah menjadi antara lagu paling ‘berhantu’ menjelang Aidilfitri kali ini.
Dari radio, TikTok sampailah ke majlis berbuka puasa, semuanya seakan tidak lengkap tanpa lagu ini berkumandang. Cik Bunga perasan juga, sejak kebelakangan ini timeline media sosial dipenuhi dengan video orang ramai menari menggunakan lagu tersebut.
Menariknya, bukan sekadar joget biasa tau! Ramai yang tampil dengan tarian tradisional Melayu yang cukup lembut dan penuh lenggok.
Ada yang siap pakai kebaya, baju kurung, malah ada juga yang menari secara berkumpulan macam dalam persembahan kebudayaan. Memang meriah!
Bagi Cik Bunga, di situlah keistimewaan Jodoh Lebaran. Walaupun ia lagu raya moden, Aisha Retno nampaknya berjaya menghidupkan semula elemen muzik dan tarian Melayu klasik dalam cara yang segar dan mudah diterima generasi muda.
Pendek kata, lagu ini bukan saja sedap didengar, tapi juga mengingatkan orang ramai kepada keindahan seni tradisional kita. Bukan senang tahu lagu raya hendak jadi ‘trend’ tetapi nampaknya Aisha berjaya buat ramai orang jatuh cinta!
Di ruangan komen pula, ramai yang memuji keberanian Aisha membawa konsep sebegini. Ada yang kata lagu ini buat mereka rasa lebih dekat dengan budaya sendiri, ada juga yang mengaku tidak berhenti tekan butang ‘repeat’.
Kalau sudah ramai yang menari dan berkongsi video, itu memang petanda satu perkara bahawa lagu ini sudah jadi fenomena!
Cik Bunga pun tidak terkejut kalau Jodoh Lebaran akhirnya diangkat sebagai antara lagu raya paling ikonik tahun ini. Kadang-kadang, satu lagu sahaja sudah cukup untuk mencipta memori Aidilfitri.
Jadi, tahniah Aisha. Teruslah menghasilkan karya-karya lagu bermutu dan menarik lagi ya!









