Penyanyi dan pelakon, Shiha Zikir meluahkan rasa sedih apabila melihat budaya komen kasar di media sosial yang semakin menjadi-jadi, terutama apabila ia ditujukan kepada individu yang lebih berpengalaman dalam industri seni.
Menurut Shiha, sebagai seorang artis yang juga membesar dengan karya-karya penyanyi legenda tempatan, dia berasa terkilan apabila membaca komen negatif yang melampau terhadap mereka yang lebih senior.
“Bila saya baca komen-komen yang kasar terhadap orang yang lebih berpengalaman dalam industri, memang saya rasa sedih. Bukan sebab saya saja, tetapi sebab mereka itu adalah orang yang kita sendiri membesar dengan karya mereka.
“Kadang-kadang bila saya terbaca komen seperti itu, saya tertanya-tanya juga, kenapa kita sanggup menulis perkara sebegitu rupa.
“Bagi saya, kalau kita nak menegur atau memberi pendapat, tegurlah dengan cara yang baik dan hormat. Terutama apabila ia melibatkan orang yang lebih tua atau lebih lama dalam industri,” katanya.
Shiha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang sikap segelintir netizen yang gemar meninggalkan komen pedas dan membanding-bandingkan karya artis di media sosial.
Menurut penyanyi lagu Minta Ampun itu lagi, setiap individu mempunyai hak untuk menyatakan pandangan masing-masing, namun cara penyampaian tetap perlu dijaga agar tidak melampaui batas.
“Setiap orang memang ada pendapat masing-masing. Itu perkara biasa. Kita semua pun pernah berkongsi apa yang kita suka atau tidak suka.
“Tetapi bila cara menyampaikan itu terlalu kasar atau menghina, itu yang saya rasa tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau kita tak bersetuju dengan sesuatu pandangan, kadang-kadang lebih baik kita diam sahaja. Tak rugi pun sebenarnya. Kita tidak perlu membalas dengan kata-kata yang boleh melukakan hati orang lain,” jelasnya.

Shiha turut mengakui dirinya sendiri tidak terlepas daripada menerima kritikan sepanjang berada dalam industri seni. Namun dia memilih untuk mengambil pendekatan lebih matang dalam berdepan dengan komen negatif.
“Saya tidak nafikan, sampai sekarang pun ada saja orang yang tak puas hati. Ada yang komen macam-macam. Itu perkara biasa sebagai seorang artis. Tetapi biasanya saya lebih memilih untuk diam sahaja.
“Sebab kita memang tak boleh puaskan hati semua orang. Apa yang penting, kita tahu apa yang kita buat dan kita teruskan sahaja kerja kita,” katanya.
Dalam masa sama, Shiha percaya setiap kata-kata yang ditulis di media sosial sebenarnya mencerminkan keperibadian seseorang.
“Bagi saya, setiap perkara yang kita tulis itu sebenarnya menunjukkan siapa diri kita. Kalau kita nak orang nampak kita sebagai orang yang baik atau positif, maka tulislah perkara yang baik.
“Kalau kita mewakili peminat atau menyokong seseorang artis pun, cara kita bercakap itu sangat penting. Jangan sampai cara kita mempertahankan artis yang kita minat akhirnya membuatkan orang lain memandang buruk,” katanya.
Tambah Shiha, dia juga sering mengingatkan peminat serta orang di sekelilingnya supaya sentiasa menjaga tutur kata ketika berada di media sosial.
“Saya selalu pesan kepada orang yang rapat dengan saya, termasuk peminat dan staf, supaya berhati-hati dengan apa yang ditulis. Media sosial ini sangat luas dan apa saja yang kita tulis boleh dibaca oleh sesiapa sahaja.
“Jadi sebelum menulis sesuatu, fikir dulu. Hormat orang lain, terutamanya mereka yang lebih tua dan lebih lama dalam industri. Itu perkara yang sangat penting bagi saya,” ujarnya.
Shiha dalam masa sama berharap budaya saling menghormati dapat terus dipupuk dalam kalangan peminat industri hiburan tempatan.
“Industri ini sebenarnya akan jadi lebih positif kalau semua orang boleh saling menghormati. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sampai menjatuhkan maruah atau menyakiti hati orang lain.
“Kalau kita sendiri tidak mahu orang bercakap buruk tentang artis yang kita sayang, maka kita juga jangan buat perkara yang sama kepada orang lain,” katanya.











