Kisah, karya seni saya lebih dihargai di Amerika Syarikat - Zamaera - Utusan Malaysia

Kisah, karya seni saya lebih dihargai di Amerika Syarikat – Zamaera

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Penyanyi rap tempatan, Zamaera, berpendapat, sebagai seorang artis, dirinya sering disalahertikan khususnya oleh mereka yang tidak berusaha memahami identitinya sebagai pengkarya seni.

Menurutnya, di Malaysia, sebahagian masyarakat hany melihat dirinya menghasilkan muzik hip hop dan menggayakan rambut ‘braid’  sebagai cubaan untuk meniru budaya orang kulit hitam.

Namun, Zamaera mendakwa penerimaan yang diterimanya di Amerika Syarikat jauh lebih positif.

“Sebagai seorang artis, anda kemungkinan besar akan disalahertikan, terutamanya jika orang di sekeliling anda tidak berniat untuk mengenali anda sebagai seorang artis.

“Di sana (Amerika), saya dapat berkongsi budaya dan asal-usul saya sambil membina ruang sendiri dalam muzik hip hop. Kisah serta karya seni saya lebih dihargai berbanding di negara sendiri,” katanya di Threads.

Selain itu, Zamaera turut menyifatkan dakwaan perampasan budaya sebagai tidak berasas dan mengkritik pihak tertentu yang menurutnya terlalu berlagak progresif.

“Tiada pun yang mengatakan ia sebagai perampasan budaya. Hanya kamu yang terlalu ingin berlagak ‘woke’,”katanya.

Dalam pada itu, ramai kalangan warganet tidak bersetuju dengan pandangan Zamaera itu yang disifatkan tiada kena mengenai dengan isu yang dia cuba bangkitkan.

Ini kerana, rata-rata warganet berpandangan, kecaman yang diterima Zamera sebelum ini adalah lebih menjurus kepada isu sensitiviti agama.

Seorang pengguna menegaskan bahawa kritikan terhadap penyanyi itu bukan berpunca daripada gaya rambut atau imej, sebaliknya tindakannya  yang dianggap tidak menghormati bulan Ramadan.

“Hakikatnya, isu ini bukan berkaitan rambut braid. Kita sudah mempunyai penyanyi yang menggayakan gaya tersebut lebih lama. Kritikan timbul kerana anda tidak menghormati bulan Ramadan apabila melancarkan video muzik. Sebagai rakyat Malaysia, anda sepatutnya lebih peka.

“Ambil pengajaran daripada penyanyi lain seperti Mimifly. Dia menerima kritikan, kemudian menambah baik video muziknya sehingga mendapat penerimaan ramai. Hentikan sikap meletakkan diri sebagai mangsa,”tulisnya.

Seorang lagi pengguna turut menyuarakan pandangan serupa dengan menekankan aspek tanggungjawab.

“Jangan mendakwa diri disalahertikan sedangkan tindakan anda jelas tidak peka apabila melancarkan lagu tersebut ketika Ramadan. Daripada mengambil tanggungjawab, anda terus mempromosikan lagu yang itu. Ia tidak menghormati keadaan semasa dan kritikan yang diterima adalah wajar.

“Walaupun bakat anda tidak dapat dinafikan, penulisan lagu masih lemah. Beberapa karya tidak mendapat sambutan, mungkin anda perlu bekerjasama dengan penulis lain. Bukankah anda pernah mencuba pasaran Amerika Syarikat dan Kanada? Semoga berjaya, namun sikap berlagak bertaraf antarabangsa itu tidak membantu,”tulis pengguna itu.

Selain itu,seorang lagi pengguna tampil dengan kritikan lebih tegas terhadap  imej yang ditonjolkan.

“Sikap kononnya progresif itu tidak sesuai dalam konteks ini. Tempoh hari ialah bulan Ramadan. Jika ingin berpenampilan mencolok mata sekalipun, biarlah kena pada waktu yang sesuai.

“Jika benar anda menghargai dan berbangga dengan akar budaya sendiri, tidak perlu menonjolkan imej sedemikian ketika bulan suci.

“Penyanyi seperti Yuna yang pernah bekerjasama dengan Mike Einziger serta artis antarabangsa seperti Usher dan Tyler, The Creator juga tidak menunjukkan sikap sedemikian.

“Saya sendiri berasa kesal kerana pernah menyokong dan menghadiri persembahan anda di Ipoh sebelum ini. Jika mengetahui sikap sebegini, sudah tentu saya tidak akan hadir,”katanya.

Sebelum ini, Zamaera mendapat kecaman hebat gara-gara tindakannya melancarkan single terbaru berjudul Ikan Kekek.

Selain dilancarkan di bulan Ramadan, lagu tersebut disifatkan tidak sesuai kerana imej yang ditampilkan di dalam muzik video itu dikatakan mencolok mata selain sebutan perkataan ikan kekek yang didakwa tidak tepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN