PETALING JAYA: Pelakon, Abby Abadi tampil menitipkan kata semangat buat puteri kesayangannya, Marissa Dania Hakim yang sekali lagi diuji dalam masalah rumah tangga.
Abby berkata, setiap jatuh bangun yang dilalui Marissa hari ini merupakan sebahagian daripada proses kehidupan untuk dirinya terus belajar dan menjadi insan yang lebih tenang pada masa akan datang.
“Kalau hari ini kamu belum faham erti hidup, tidak apa. Yang penting terus belajar. Jangan buat sesuatu sebab ramai buat, tapi buat bila sesuatu itu memberi ‘nilai’ untuk hidup kamu.
“Nilai hidup bukan pada siapa paling hebat, tapi pada jiwa dan hati yang tenang,” katanya di Instagram.
Terus menjadi pendukung setia, Abby menganggap segala kesilapan yang dilakukan oleh anaknya sebelum ini bukanlah satu kegagalan, sebaliknya fasa menjadikannya seorang yang lebih matang.
“Nasihat Mama, kamu baru 20 tahun. Kesilapan itu bukan bermakna kamu gagal.
“Itu tanda sedang belajar jadi manusia yang lebih baik dan matang. Anak Mama kuat! Insyaa-Allah sekali lagi,” luahnya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Trauma itu turut memujuk Marissa untuk merawat luka yang dilaluinya dengan menikmati keindahan alam agar jiwanya kembali tenang,
“Pusing-pusing dulu lihat keindahan bumi ciptaan Allah ini. Bagi peluang untuk diri merasa nikmat kehidupan yang Allah anugerahkan,” ujarnya.
Hari ini, Marissa dan suaminya, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding lafaz cerai dan rujuk.
Difahamkan, Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah, masing-masing pada tahun 2024 dan 2025, sebelum melakukan lafaz rujuk pada tahun yang sama.
Malah, pasangan itu pernah hadir ke mahkamah yang sama untuk mengesahkan status pernikahan mereka pada 27 Mei 2025.










