KUALA LUMPUR: Bintang sensasi K-pop, Park Soo-young yang lebih dikenali sebagai Joy, bakal menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert solo pertamanya di negara ini pada 25 April depan di Zepp Kuala Lumpur.
Joy yang juga anggota kumpulan popular Red Velvet dijangka memukau peminat tempatan, khususnya peminat setia dikenali sebagai ‘ReVeluvs’, menerusi persembahan yang menjanjikan pengalaman audio dan visual yang mengasyikkan.
Dilahirkan sebagai antara penghibur paling tersohor dalam industri K-pop, Joy dikenali dengan bakat serba boleh sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara. Beliau memulakan kerjaya sebagai anggota Red Velvet pada Ogos 2014 sebelum mengembangkan sayap dalam bidang lakonan pada tahun 2017.
Antara drama lakonan beliau yang mendapat perhatian termasuk The Liar and His Lover (2017), Tempted (2018), The One and Only (2021) serta Once Upon a Small Town (2022).
Pada tahun 2021, Joy melangkah sebagai penyanyi solo menerusi pelancaran album khas berjudul Hello yang menerima sambutan hangat peminat. Selain itu, beliau turut dikenali menerusi penampilan dalam rancangan variasi seperti Pajama Friends (2018) dan Handsome Tigers (2020), di samping menjadi duta kepada pelbagai jenama fesyen, kecantikan dan gaya hidup.

Konsert jelajah Asia 2026, JOY SPLASH yang dianjurkan oleh Zues Event, dijangka membuka lembaran baharu dalam perjalanan muzik solo Joy. Persembahan tersebut bakal menampilkan susunan pentas kreatif serta segmen interaktif yang memberi peluang kepada peminat untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan idola mereka.
Peminat juga boleh menjangkakan persembahan lagu-lagu popular serta kejutan istimewa yang akan menceriakan malam konsert. Malah, pelbagai manfaat eksklusif turut disediakan kepada peminat yang hadir, termasuk peluang menikmati pengalaman interaktif dan hadiah khas.
Selain Kuala Lumpur, siri konsert JOY SPLASH turut akan berlangsung di beberapa bandar utama Asia termasuk Taipei, Hong Kong dan Bangkok.
Untuk rekod, penganjuran konsert solo Joy ini menyusul kejayaan rakan kumpulan Red Velvet yang sebelum ini turut mengadakan persembahan di Malaysia.
Pada September tahun lalu, Irene dan Seulgi telah menghiburkan peminat menerusi jelajah BALANCE World Tour di Mega Star Arena, manakala pada Disember, Wendy tampil dengan konsert W:EALIVE di Zepp Kuala Lumpur. Kedua-dua persembahan tersebut menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran ribuan peminat.
Kini, tiba giliran Joy untuk menyerlah di pentas solo dan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bintang K-pop berpengaruh.
Single solo beliau berjudul Hello yang dilancarkan pada 2019 mendapat pujian meluas hasil tenaga ceria dan elemen nostalgia, selain menduduki tangga teratas carta muzik serta carta iTunes di 26 negara.
Kejayaan itu diikuti dengan lagu Happy Birthday yang meraih lebih 1.1 juta tontonan di YouTube, selain single terbaharu Love Splash yang dilancarkan Ogos lalu, kini telah mencatat lebih 1.4 juta tontonan.










