Izzue Islam ajak pendengar raikan kepelbagaian lagu raya - Utusan Malaysia

Izzue Islam ajak pendengar raikan kepelbagaian lagu raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara, Izzue Islam berharap orang ramai dapat meraikan setiap lagu raya yang dihasilkan oleh penggiat seni tanpa terlalu cepat memberikan kritikan.

Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, berkata setiap lagu raya yang dilancarkan oleh penyanyi mempunyai identiti serta keunikan tersendiri.

Menurutnya, lagu raya sepatutnya menjadi medium yang membawa keceriaan dan memeriahkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Pada saya, kita raikan sahaja apa jua lagu raya yang dihasilkan. Setiap lagu ada keunikan tersendiri.

“Untuk lagu raya kami iaitu Dulu Kini Raya, kami mengkategorikan lagu ini sebagai lagu yang mudah diterima kerana terdapat beberapa elemen yang diterapkan seperti gabungan moden dan tradisional,” katanya.

Izzue berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu duet bersama Dehaniff berjudul Dulu Kini Raya yang berlangsung di The St. Regis Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai pengguna Threads yang sering lantang memberikan pandangan, Izzue berkata dia sentiasa bersedia untuk mendengar pelbagai reaksi daripada orang ramai.

“Saya okey sahaja dan terbuka menerima apa sahaja pandangan. Sebenarnya saya sudah bersedia dengan perkara seperti ini sejak lebih 10 tahun lalu kerana sudah terbiasa.

“Ada juga yang mengatakan suara saya biasa tetapi masih sibuk mahu menyanyi. Namun kata-kata itu tidak pernah menjatuhkan semangat saya,” katanya.

Tambahnya, kritikan tersebut tidak pernah menghalangnya untuk terus berkarya dalam industri muzik.

“Kalau tidak suka tidak mengapa, tetapi saya berharap lama-kelamaan mereka boleh menerima,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kolaborasi bersama Dehaniff, Izzue menyifatkan penyanyi tersebut mempunyai kelainan tersendiri yang mampu membantu memeriahkan lagi industri muzik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN