PETALING JAYA: Pasangan selebriti, Amira Othman dan Fattah Amin menegur sikap sesetengah pihak yang gemar menyebarkan negativiti atau ‘haters’ agar berhenti menimbulkan kekacauan di setiap ruangan komen perkongsian mereka.
Bagai tidak selesa dengan situasi tersebut, Amira juga meminta pihak yang kurang senang melihat kemesraannya bersama suami tercinta seeloknya berhenti menonton segala perkongsian mereka di media sosial.
“‘Haters’ ini mereka tidak suka. Tetapi kenapa masuk live kita? Kalian tak suka, jangan tengok. Kau kenapa Nyah?” seloroh Amira.
Amira berkata demikian menerusi sebuah sesi siaran langsung yang tular di media sosial sewaktu pasangan itu menghadiri Celebfest Singapura, baru-baru ini.
Tidak berdiam diri, Fattah turut menegaskan sesi siaran langsung tersebut adalah platform untuk mereka mencari rezeki, selain berharap dapat menerima maklum balas yang positif daripada penonton.
“Tempat anda bukan di sini. Tempat anda di tempat lain. Ruangan ini adalah untuk kami mencari rezeki dan bercakap yang baik-baik saja.
“Kalau tidak suka, tengok saja. Kalau rasa mahu cakap benda yang tidak baik, tukarkan kepada perkara yang baik.
“Kalau tetap mahu bercakap perkara tidak baik, baik keluar,” ujarnya.










