DARI semua keanehan yang membuat orang di desa menjauhi Agnes; perempuan anak ahli sihir menghabiskan masa dalam hutan, berkawan dengan helang, ‘membaca’ bunyi angin dan bersendirian. Ada seorang lelaki terpesona dengan segala keunikan yang dimilikinya.
Dari tingkap rumah, William memerhatikan Agnes berkawan dengan alam, berjalan pulang setiap kali habis memberi makan helang bahkan membuatkan sarung tangan kulit khas buatnya. William seorang penulis, guru bahasa Latin tergagap seperti hilang kata ketika ditanya Agnes mengapa dia mahu mengikutinya ke dalam hutan. William berterus terang, menjadi sasterawan tidak membuatkannya selalu petah meluahkan perasaan.
“Kalau begitu, beritahu saya sebuah cerita, mungkin yang paling awak suka” Agnes duduk di tanah sebelah akar kayu yang berselirat. Dalam semua cerita yang pernah cair di kepala William, dia memilih kisah Orpheus, seorang lelaki yang kematian Eurydice dan bagaimana dia bertekad membawa isterinya ‘pulang’ dari alam berbeza.
Sejak dari adegan awal filem Hamnet ini dibuka, kita tahu William tidak hanya berminat dengan Agnes tetapi juga kesedihan, kematian dan persoalan apa yang menanti selepas kematian.
Hamnet arahan Chloé Zhao (Best Director Oscar 2021) meraih tujuh pencalonan Anugerah Oscar tahun ini termasuk kategori sengit, Best Picture. Filem ini merupakan adaptasi novel tulisan Maggie O’Farrell, iaitu sebuah karya imaginasi menceritakan kehidupan William Shakespeare dan isterinya Agnes pada era 1596 sehingga terlahirnya karya popular sejarawan itu bertajuk Hamlet.

Selepas Agnes dan William berkahwin, mereka dikurniakan anak pertama. William bergelut dengan kesan trauma kerana ayahnya seorang kaki pukul. Ada gejolak dalam diri kalau-kalau dia menjadi seperti bapanya.
Agnes menyarankan William duduk jauh dari bapa dan menjalani hidup baru di London, permulaan besar kerjayanya sebagai penulis sebelum mereka dikurniakan dua orang anak kembar, Hamnet dan Judith.
Agnes yang percaya bahawa dia boleh melihat masa depan memberitahu Hamnet kalau dia ada melihat bayangan anaknya akan bermain pedang di sebuah pementasan milik bapanya. Tapi entah siapa tahu, Hamnet mati pada usia 11 tahun akibat wabak, sebuah tragedi besar yang mengubah tidak hanya suasana keluarga kecil mereka tetapi juga dinamik hubungan William dan Agnes.
Siapa antara kita yang lebih sengsara?
Ketika seorang anak meninggal dunia, siapa yang akan lebih terluka? Ibu atau bapanya? Agnes menyalahkan William yang tiada di sana ketika anaknya menghembuskan nafas terakhir. Agnes menganggap William tidak kisah. Dalam Bereaved mothers’ and fathers’ prolonged grief (2019) memang menyatakan bahawa ibu lebih cenderung menunjukkan tanda kehilangan seperti tidak boleh tidur, murung berbanding bapa.
Proses itu akan mengambil masa lama kadang sampai satu hingga lima tahun. Tapi tidaklah bermakna bapa tidak merasakan apa-apa.

Menerusi kajian Grief experiences of fathers who have lost a child (2025) menunjukkan duka yang dialami bapa sama berat cuma cara mereka berkabung berbeza dengan ibu. Bapa lebih ‘bersembunyi’ dan perasaan itu mungkin lebih lama menempel kerana mereka tidak mempunyai cara yang lebih adaptif menghadapi tragedi itu.
Adegan akhir filem ini, Hamnet memulangkan kembali kita kepada ayat di mana William berkata, dia sukar meluahkan apa yang dirasa, termasuklah kepada isterinya. Kali ini William tidak memberikan cerita mitologi Orpheus, sebaliknya kisah yang dituliskannya sendiri bagi merelakan anaknya, Hamnet yang sudah meninggalkannya. Ketika itulah lahirnya ayat ‘to be or not to be’ yang begitu popular sampai ke hari ini dalam Hamlet.
Jika kita faham konteksnya, ia akan lebih mencengkam dan luluh. Ada duka yang menyayat William, ada nada putus asa, kesedihan yang membuatnya bertanya tentang bunuh diri.
Tapi kerana mereka tinggal di era kepimpinan Elizabethan dan undang-undang felo de se yang akan menghukum satu keluarga jika berlakunya bunuh diri, William menahan semua keinginan buruk itu. Hamlet tidak menjadi sekadar pementasan tapi juga semacam perkabungan selamat tinggal untuk merelakan anaknya pergi, baik bagi William begitu juga Agnes tanpa bertanya, luka siapa yang lebih parah antara kita?









