Hamil anak ketiga, Izara Aishah belum fikir soal nama anak - Utusan Malaysia

Hamil anak ketiga, Izara Aishah belum fikir soal nama anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Izara Aishah berkongsi khabar gembira apabila kini sedang hamil anak ketiga dengan usia kandungan sudah mencecah tujuh bulan.

Izara berkata, setakat ini dia dan suami masih belum memikirkan secara serius mengenai nama yang sesuai untuk bayi perempuan yang bakal dilahirkan itu, malah masih dalam proses mencari idea terbaik.

Menurut Izara, berita kehamilan tersebut sebenarnya tidak diumumkan olehnya secara rasmi, sebaliknya dikongsikan oleh jenama pakaian tempatan, Shawpublica, yang memperkenalkan koleksi pakaian sesuai untuk wanita hamil.

Katanya, kehamilan kali ini menyebabkan dia lebih mudah penat dan tidak mampu berdiri lama kerana sering berasa pening dan hampir pitam.

“Sekarang dah tujuh bulan. Saya cepat penat dan kadang-kadang rasa nak pitam kalau berdiri lama. Jadi ada hari saya boleh berpuasa dan ada hari terpaksa berbuka kerana badan tak larat,” katanya.

Bagaimanapun, Izara menjelaskan sepanjang tiga kali kehamilan, dia tidak pernah mengalami masalah alahan atau morning sickness seperti kebanyakan wanita lain.

“Untuk tiga-tiga kehamilan ini saya tak ada morning sickness. Cuma mungkin emosi sedikit berubah. Kadang-kadang jadi lebih tegas dan cepat marah jika kerja dilakukan sambil lewa,” ujarnya.

Tambah pelakon drama Ombak Rindu itu lagi, setakat ini berat badannya meningkat sekitar 10 kilogram, namun dia bersyukur kerana perubahan fizikal tersebut tidak terlalu ketara.

Dalam masa sama, Izara turut berkongsi pengalaman unik sepanjang kehamilan ketiganya apabila minatnya tiba-tiba beralih kepada sukan lasak seperti seni bela diri campuran (MMA), UFC dan tinju.

“Saya ingatkan bayi lelaki sebab tiba-tiba suka tengok benda lasak seperti UFC dan boxing, malah minat tengok Khabib. Rupanya bayi perempuan,” katanya sambil tersenyum.

Ditanya mengenai perancangan kerjaya, Izara berkata dia kini berehat seketika daripada dunia lakonan bagi memberi tumpuan kepada kehamilan sehingga selesai tempoh berpantang.

“Memang ada beberapa tawaran lakonan, tetapi saya terpaksa tolak kerana sudah hampir bersalin. Selepas habis pantang nanti, jika ada naskhah yang bagus, Insya-Allah saya akan kembali berlakon,” katanya.

Izara yang dijangka melahirkan anak sekitar April depan juga berharap proses kelahiran kali ini dapat dilakukan secara normal seperti dua kelahiran sebelumnya.

“Kalau tiada komplikasi, saya harap dapat bersalin normal. Doktor pun kata setakat ini semuanya dalam keadaan baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN