Gurindam Aidilfitri angkat semangat kebersamaan lebaran - Utusan Malaysia

Gurindam Aidilfitri angkat semangat kebersamaan lebaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba, stesen radio popular, Suria FM dengan kerjasama Toyota tampil melancarkan lagu dan muzik video (MV) Raya terbaharu berjudul Gurindam Aidilfitri pada 9 Mac lalu.

Lagu berkenaan menampilkan gandingan suara barisan penyampai Suria FM iaitu Fad, Ajak, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad dan DJ Lin, sekali gus menyemarakkan lagi kemeriahan Syawal tahun ini.

Gurindam Aidilfitri mengetengahkan gabungan elemen muzik moden dan tradisional yang ceria, sambil mengangkat nilai nostalgia, kekeluargaan serta keindahan suasana hari raya.

Lagu ini diterbitkan oleh Lsandbeats Legacy dengan komposisi hasil ciptaan Luca Sickta dan Nazif Analog, manakala liriknya pula digarap oleh Luca Sickta, Nazif Analog bersama B-Heart.

Muzik video yang dihasilkan turut memaparkan pelbagai momen klasik Aidilfitri seperti amalan memohon kemaafan, kunjung-mengunjung, menikmati juadah tradisional serta merakam kenangan bersama keluarga dan sahabat handai.

Selain itu, penampilan beberapa model kenderaan Toyota dalam MV tersebut menambahkan lagi tarikan visual di samping menyampaikan mesej perjalanan pulang ke kampung yang selamat dan selesa, sejajar dengan semangat perayaan.

Dalam usaha memeriahkan lagi pelancaran, Suria FM turut menganjurkan Gurindam Aidilfitri Dance Challenge yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sehingga RM3,000.

Peserta hanya perlu mengikuti langkah tarian rasmi seperti dalam muzik video berkenaan, dengan konsep penyertaan yang santai dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Pecahan hadiah adalah RM1,500 bagi tempat pertama, RM1,000 (kedua) dan RM500 (ketiga).

Orang ramai boleh menonton muzik video penuh lagu tersebut menerusi saluran YouTube rasmi Suria FM, Suria Malaysia serta mengikuti perkembangan lanjut melalui platform media sosial stesen berkenaan.

Suria FM berharap lagu “Gurindam Aidilfitri” mampu menjadi antara lagu raya pilihan ramai tahun ini, sekali gus menyemarakkan sambutan Aidilfitri 2026 dengan penuh kegembiraan, kemaafan dan semangat kebersamaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN