Emma Maembong utamakan kebahagiaan anak, kekal raya bersama bekas suami - Utusan Malaysia

Emma Maembong utamakan kebahagiaan anak, kekal raya bersama bekas suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon jelita, Emma Maembong memilih untuk terus menyambut Aidilfitri bersama bekas suaminya demi memastikan kebajikan emosi anak-anak sentiasa terpelihara meskipun ikatan rumah tangga mereka telah berakhir.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 33, berkata, keputusan tersebut dibuat bukan sekadar untuk mengekalkan hubungan baik, sebaliknya bagi memastikan anak-anaknya membesar dalam suasana penuh kasih sayang dan tidak berasa kehilangan.

Menurutnya, dia tidak mahu anak-anak melalui pengalaman pahit seperti yang pernah dirasainya suatu ketika dahulu.

“Saya tidak mahu anak-anak rasa berbeza. Walaupun kami sudah tidak bersama, mereka tetap perlu merasakan kehadiran sebuah keluarga yang lengkap,” katanya.

Lebih menyentuh hati, Emma berkongsi pengalaman zaman kecilnya yang pernah melalui detik ketiadaan momen keluarga sempurna sehingga dia terpaksa melukis sendiri potret keluarga impian.

Katanya, pengalaman tersebut menjadi pemangkin untuk memastikan anak-anaknya tidak berdepan situasi sama, terutama ketika meraikan hari istimewa seperti Aidilfitri.

Dalam pada itu, Emma memaklumkan mereka akan terus mengekalkan tradisi mengenakan pakaian sedondon pada pagi Syawal, selain merakam gambar bersama sebagai kenangan keluarga.

“Tahun ini kami tetap akan bergambar bersama. Bagi saya, itu penting supaya anak-anak tahu tiada apa yang berubah,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun hubungan sebagai suami isteri telah berakhir, namun dia dan bekas suaminya masih mengekalkan komunikasi yang baik serta bekerjasama dalam membesarkan anak-anak.

Katanya, kebahagiaan anak-anak menjadi keutamaan utama, khususnya dalam mencipta kenangan indah yang akan dikenang sepanjang hayat.

“Saya tahu bagaimana perasaan tidak mempunyai gambar keluarga yang lengkap. Sebab itu saya tidak mahu anak-anak melalui perkara yang sama.

“Duit boleh dicari, tetapi kenangan itu yang akan kekal,” katanya.

Untuk rekod, Emma dan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar bercerai secara baik pada 7 Oktober 2024 selepas tamat tempoh idah. Perceraian tersebut berlaku tanpa kehadiran orang ketiga.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN