Diperlekeh artis ‘J’, bukan Janna Nick - Zara Zya

Diperlekeh artis ‘J’, bukan Janna Nick – Zara Zya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zara Zya menafikan dakwaan netizen yang mengaitkan pelakon Janna Nick sebagai individu digelar ‘J’ yang pernah memperlekehkan dirinya pada awal kemunculan dalam industri seni.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 41, berkata, Janna bukan individu dimaksudkan kerana pelakon tersebut sebenarnya muncul dalam industri selepas dirinya.

Menurutnya, dia juga tidak mempunyai sebarang masalah dengan Janna dan hubungan mereka berada dalam keadaan baik.

“Bukan dia. Janna muncul selepas saya dalam industri. Dia orang baru selepas saya.

“Dia juga seorang yang baik dan kami tidak pernah ada masalah. Kami berkawan seperti biasa. Tentang ‘J’ itu, biarlah yang tahu sahaja yang tahu,” katanya.

Zara berkata demikian ketika mengulas spekulasi netizen selepas dia berkongsi kisah pernah diperlekeh seorang artis wanita ketika masih baharu dalam dunia lakonan.

Dalam pada itu, Zara menjelaskan pendedahan kisah berkenaan dibuat sebagai pengajaran kepada pendatang baharu dalam industri seni agar lebih bersedia dan bijak menjaga diri.

“Saya sebenarnya mahu membuat perkongsian berbentuk ‘thread’ untuk orang baharu dalam industri supaya mereka lebih bersedia, ada ilmu dan pandai menjaga diri.

“Tetapi saya kongsikan satu cerita dahulu, mungkin ada lagi selepas ini,” ujarnya.

Menurut Zara, kejadian tersebut berlaku ketika dia masih belum dikenali ramai dan sedang menjalani penggambaran di sebuah pusat beli-belah.

Katanya, ketika itu seorang peminat datang bergambar dengan artis wanita berkenaan sebelum individu tersebut menghampirinya dan mentertawakan dirinya.

“Ada orang bergambar dengannya dan saya berada tidak jauh dari situ, duduk di kerusi.

“Selepas itu dia datang kepada saya sambil ketawa dan berkata saya tidak popular serta tiada siapa mahu bergambar dengan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Zara mengakui kata-kata tersebut tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadi pendorong untuk terus berusaha dalam kerjaya seni.

“Saya rasa pelik dengan situasi itu. Bukanlah sedih kerana saya bukan jenis yang ambil kisah sangat.

“Tetapi dalam hati saya berkata, insya-Allah suatu hari nanti orang akan mengenali saya.

“Saya jenis serius dalam kerja dan akan buat bersungguh-sungguh. Alhamdulillah sekarang orang sudah kenal Zara Zya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zara memaklumkan dia hanya pernah bekerjasama sekali sahaja dengan artis wanita berkenaan menerusi sebuah telefilem.

Malah katanya, individu yang dimaksudkan juga kini tidak lagi aktif dalam industri hiburan.

“Selepas itu kami tidak pernah berjumpa lagi. Kami hanya bertemu ketika penggambaran telefilem tersebut.

“Sekarang dia juga sudah tidak lagi berada dalam industri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN