Diam tak bermaksud saya merelakan diri dipijak - Betty Rahmad - Utusan Malaysia

Diam tak bermaksud saya merelakan diri dipijak – Betty Rahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bangkit mempertahankan diri, pelakon dan usahawan, Betty Rahmad bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menyebarkan fitnah terhadap dirinya.

Menurut Betty, dirinya nekad untuk bertindak sedemikian kerana kurang senang dengan segala tuduhan tidak berasas dari segelintir pihak meskipun sudah perjelaskan situasi sebenar sebelum ini.

“Sudah lebih seminggu perkara ini dibiarkan. Namun semakin lama dibiarkan, semakin banyak cerita dan tuduhan tidak berasas.

“Diam tak bermaksud saya merelakan diri dipijak. Demi menjaga maruah diri dan agama, saya telah menyerahkan perkara ini kepada pihak peguam untuk tindakan undang-undang,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Menerusi hantaran tersebut, adik kepada Erma Fatima itu turut memuat naik gambar bersama peguam yang bakal menguruskan kes tersebut.

Betty bagaimanapun turut memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi mahupun dakwaan terhadap dirinya sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

“Kepada mana-mana pihak yang menokok tambah atau menyebarkan fitnah, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya.

Sebelum ini, Betty menerusi sebuah sesi siaran langsung menafikan dakwaan mengenai dirinya bersikap biadab terhadap salah seorang pekerja wanita ketika menghadiri sebuah acara di Singapura, baru-baru ini.

Kontroversi itu hangat menjadi sorotan selepas seorang individu mendakwa bahawa pelakon itu meninggikan suara terhadap pekerja berkenaan ketika berkunjung di gerai jualan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN