GARA-gara mulut seorang penata gaya, Law Roach, habis satu industri hiburan kecoh dan tertanya-tanya adakah benar pasangan selebriti romantis Zendaya dan Tom Holland sudah berkahwin? Walaupun Roach yang juga penata gaya peribadi Zendaya itu berkata dengan nada berseloroh, namun ramai juga yang mengaitkan kata-kata itu tidak sebagai ‘petanda’, seolah-olah media antarabangsa sudah terlepas gosip paling hangat pasangan itu.
Ada banyak sebab mengapa para selebriti merahsiakan perkahwinan dan hanya mengumumkan berita itu bila sudah sampai masanya. Boleh jadi mereka ingin melindungi privasi, maklum sajalah ada sahaja tekanan daripada pihak luar yang mungkin tidak bersetuju dengan perkahwinan mereka.
Selain itu, kahwin senyap-senyap juga bagus dan bebas daripada persepsi orang awam yang akan menghakimi kesempurnaan majlis mereka. Sementara kita menunggu Zendaya dan Tom Holland buka mulut khabar angin itu, mari kita lihat dulu antara selebriti popular yang pernah merahsiakan perkahwinan mereka.

Beyoncé dan Jay-Z
Beyoncé berkahwin dengan Jay-Z ketika dia berada di kemuncak kejayaan, waktu itu pula dia baru di usia 27 tahun. Mereka melangsungkan perkahwinan pada April 2008 dan hanya mengesahkan perkara tersebut enam bulan selepas itu. Mereka berkahwin di rumah mereka sendiri, dengan mengubah penthouse seluas 13,500 kaki persegi milik Jay-Z di TriBeCa menjadi lokasi majlis perkahwinan mereka. Majlis pereka sangat intim dan hanya dihadiri kira-kira 40 orang tetamu sahaja.

Dave Franco and Alison Brie
Kisah cinta mereka mula terjalin, ketika mereka pertama kali bertemu di New Orleans pada tahun 2011. Namun, mereka mengekalkan hubungan itu secara sederhana termasuklah tidak terlalu menunjukkan masing-masing di media sehinggalah mereka bertunang pada tahun 2015. Mereka kemudian berkahwin dalam sebuah majlis tertutup pada tahun 2017. Bagaimanapun, mereka tidak merahsiakan perkara itu terlalu lama dan terus berkongsi berita gembira itu kepada peminat beberapa hari selepas itu.

Javier Bardem and Penélope Cruz
Penélope Cruz dan Javier Bardem sebenarnya sudah saling mengenali sejak awal 1990-an ketika mereka sama-sama membintangi filem Sepanyol Jamón Jamón. Namun hubungan romantik mereka hanya bermula 2007, selepas mereka kembali bekerjasama dalam filem Vicky Cristina Barcelona arahan Woody Allen. Mereka berkahwin di Bahamas pada julai 010 tanpa ada satu media pun yang tahu.

Scarlett Johansson, Colin Jost
Pasangan ini berkahwin pada Oktober 2020 dalam satu majlis kecil dan sangat tertutup. Yang menariknya, berita perkahwinan mereka tidak diumumkan melalui wakil media hiburan biasa, tetapi menerusi akaun Instagram organisasi amal Meals on Wheels America. Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas majlis berlangsung. Majlis tersebut diadakan secara sederhana dengan kehadiran ahli keluarga terdekat sahaja, selaras dengan langkah keselamatan ketika pandemik COVID-19. Tiada gambar rasmi majlis dikongsi kepada umum.

Ariana Grande, Dalton Gomez
Ariana dan Dalton mula menjalinkan hubungan pada awal 2020 dan bertunang pada Disember tahun yang sama. Mereka berkahwin pada 15 Mei 2021 dalam satu majlis yang sangat kecil dan tertutup di rumah Ariana di Montecito, California. Majlis itu hanya dihadiri kurang daripada 20 orang tetamu, terdiri daripada keluarga terdekat sahaja. Tiada liputan media ketika hari perkahwinan, dan berita tersebut hanya disahkan oleh wakil Ariana selepas majlis berlangsung. Gambar rasmi pula dikongsi beberapa hari kemudian. Tapi mereka bercerai pada pertengahan 2023.










