Di mata peminat, kehidupan selebriti Hollywood segalanya tampak sempurna setiap kali tampil penuh keyakinan dan mempesonakan apabila di hadapan kamera.
Namun di sebalik glamor itu, ada antara mereka yang sebenarnya berdepan penyakit kronik yang memerlukan rawatan dan pemantauan berterusan.
Siapa sangka, lima selebriti Hollywood ini sebenarnya berjuang dalam diam melawan penyakit kronik yang mengubah kehidupan mereka:
Selena Gomez
Penyanyi dan pelakon popular Hollywood, Selena Gomez menghidap penyakit autoimun kronik, lupus, sejak 2013.
Salena mendedahkan perkara itu kepada umum selepas timbul spekulasi mengenai keadaan kesihatannya yang ketika itu dilihat sering keletihan dan terpaksa membatalkan beberapa komitmen kerjaya.
Lupus merupakan penyakit di mana sistem imun badan menyerang tisu dan organ sendiri, sekali gus boleh menjejaskan sendi, kulit serta organ dalaman termasuk buah pinggang.
Pada 2017, keadaan kesihatan penyanyi lagu Who Says itu dilaporkan semakin serius sehingga beliau perlu menjalani pemindahan buah pinggang yang diderma oleh rakan baiknya, pelakon Francia Raisa.
Lady Gaga
Penyanyi tersohor, Lady Gaga mendedahkan bahawa dirinya menghidap fibromyalgia iaitu satu keadaan kronik yang menyebabkan sakit keseluruhan badan, keletihan berpanjangan dan ketidakselesaan fizikal yang serius.
Penyanyi lagu Bad Romance itu secara terbuka memaklumkan mengenai penyakit tersebut melalui sebuah dokumentari, Gaga: Five Foot Two dan kenyataan di media sosial pada 2017.
Menurut Gaga, penyakit tersebut bukan sekadar kesakitan biasa tetapi memberi kesan besar kepada hidup dan kerjayanya kerana ia melibatkan gangguan dalam cara sistem saraf memproses isyarat kesakitan dan boleh menyebabkan gejala termasuk sakit otot, keletihan, gangguan tidur serta kesukaran fokus.
Nick Jonas
Anggota kumpulan Jonas Brothers, Nick Jonas, disahkan menghidap diabetes jenis 1 sejak berusia 13 tahun selepas mengalami penurunan berat badan mendadak, kerap dahaga dan keletihan melampau.
Pemeriksaan lanjut mendapati paras gula dalam darahnya berada pada tahap berbahaya, sekali gus memerlukan rawatan segera.
Diabetes jenis 1 merupakan penyakit kronik autoimun di mana pankreas gagal menghasilkan insulin yang mencukupi. Pesakit perlu mengambil suntikan insulin setiap hari bagi mengawal paras gula dalam darah.
Kini, penyanyi lagu Jealous itu aktif meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeriksaan awal dan pengurusan diabetes yang betul.
Kim Kardashian
Selebriti terkenal, Kim Kardashian menghidap psoriasis iaitu penyakit kulit kronik yang menyebabkan tompok merah, bersisik dan kadangkala gatal atau pedih sejak berusia sekitar 20-an.
Penyakit tersebut dipercayai diwarisi daripada ibunya dan boleh datang secara berulang, terutamanya ketika stres atau perubahan hormon. Walaupun tidak berjangkit, ia boleh memberi kesan kepada keyakinan diri, khususnya bagi individu yang sentiasa berada di hadapan kamera.
Bagaimanapun, Kim memilih untuk bersikap terbuka mengenai keadaannya dan pernah berkongsi gambar tompok psoriasis di media sosial tanpa solekan sekali gus menerima pelbagai reaksi mengenai keberaniannya dalam memecahkan stigma terhadap masalah kulit.
Michael J. Fox
Pelakon terkenal Hollywood, Michael J. Fox, didiagnosis menghidap penyakit Parkinson pada 1991 ketika berusia 29 tahun sewaktu kemuncak popularitinya sebagai bintang filem dan televisyen.
Parkinson merupakan penyakit gangguan saraf progresif yang menjejaskan pergerakan tubuh, termasuk menyebabkan gegaran (tremor), kekakuan otot dan kesukaran mengawal koordinasi.
Pada awalnya, Michael merahsiakan diagnosis tersebut sebelum akhirnya mendedahkannya kepada umum pada 1998. Selepas pengumuman itu, dia memperlahankan kerjaya lakonan bagi memberi tumpuan kepada kesihatan.
Pada tahun 2000, pelakon filem Teen Wolf itu menubuhkan The Michael J. Fox Foundation for Parkinson’s Research yang kini menjadi antara organisasi terkemuka dunia dalam pembiayaan penyelidikan Parkinson










