Di saat industri muzik tempatan rancak dengan deretan lagu raya berentak ceria dan moden, penyanyi tersohor, Dayang Nurfaizah tampil dengan pendekatan berbeza menerusi lagu Senyum Gugur di Penghujung Doa yang sarat emosi dan menyentuh jiwa.
Tidak sekadar sebuah karya hiburan, lagu ini hadir sebagai naskhah penuh makna yang mengangkat sisi Aidilfitri yang jarang diperkatakan tentang rindu, kehilangan dan kekuatan untuk menerima takdir dengan hati yang reda.
Menurut Dayang ketika dihubungi Utusan Malaysia, idea penghasilan lagu tersebut tercetus daripada pemerhatian terhadap realiti yang dilalui segelintir masyarakat setiap kali musim perayaan menjelang.
“Inspirasi utama lagu ini datang daripada rasa rindu dan kehilangan yang sering hadir setiap kali musim raya. Raya selalunya dikaitkan dengan kegembiraan, tetapi dalam masa yang sama, ada juga yang menyambutnya dengan hati yang sedikit kosong kerana insan tersayang sudah tiada.
“Lagu ini cuba menceritakan perasaan itu, senyuman yang tetap diukir, tetapi dalam doa kita, ada air mata yang gugur,” katanya.
Mengakui dirinya masih beruntung kerana kedua-dua ibu bapanya masih ada, penyanyi bersuara lunak itu bagaimanapun tidak menafikan sering memikirkan perasaan mereka yang diuji dengan kehilangan.
“Kisah ini lebih kepada pengalaman orang sekeliling saya. Alhamdulillah, saya masih mempunyai kedua-dua ibu bapa. Tetapi saya selalu terfikir, bagaimana rasanya jika saya berada di tempat mereka yang kehilangan?
“Adakah saya cukup kuat dan bersedia? Jawapannya semestinya tidak. Dari situlah datangnya rasa empati yang saya cuba sampaikan dalam lagu ini,” ujarnya jujur.

Tambahnya, lagu tersebut bukan sekadar mahu mengundang kesedihan, sebaliknya menyampaikan emosi yang lebih mendalam dan penuh ketenangan.
“Saya mahu pendengar merasai kerinduan, kasih sayang dan juga keikhlasan dalam menerima takdir. Bukan sekadar sedih, tetapi satu rasa yang tenang. Kita perlu ingat bahawa walaupun mereka sudah tiada, rindu dan doa itu tetap hidup dalam hati kita,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Dayang berkata, pemilihan pendekatan yang lebih sayu dan reflektif dibuat bagi memberi ruang kepada sisi Aidilfitri yang sering terpinggir.
“Saya mahu kita tidak melupakan mereka yang sedang melalui kehilangan. Raya bukan hanya tentang kegembiraan, tetapi juga tentang mengingati, menghargai dan mendoakan mereka yang telah pergi. Lagu ini adalah ruang untuk kita berhenti seketika dan merasai sisi itu,” katanya.
Mengulas mengenai perubahan trend lagu raya masa kini, Dayang melihat ia sebagai perkembangan positif, namun menegaskan masih terdapat ruang untuk karya yang lebih menyentuh jiwa.
“Memang ada perubahan dan bagi saya itu sesuatu yang sihat. Banyak lagu raya sekarang lebih moden, segar dan ceria. Tetapi saya rasa masih ada ruang untuk lagu yang menyentuh jiwa. Lagu ini cuba membawa keseimbangan itu dan mengisi ruang emosi yang mungkin sudah lama tidak diangkat.
“Saya rasa pendengar hari ini lebih jujur dengan emosi mereka. Mereka tidak takut untuk berasa sedih atau berkongsi perasaan kehilangan. Sebab itu apabila lagu seperti ini hadir, ramai yang boleh mengaitkannya dengan kehidupan mereka dan menerimanya dengan hati yang terbuka,” katanya.
Kejayaan lagu tersebut yang menyentuh hati pendengar turut diakui Dayang sebagai antara pengalaman paling bermakna sepanjang kerjayanya.
“Saya sangat tersentuh dan bersyukur apabila ramai mengatakan lagu ini menusuk jiwa. Sebagai penyanyi, itu antara reaksi paling bermakna apabila lagu yang kita sampaikan benar-benar sampai ke hati pendengar. Ia membuatkan saya rasa usaha dan niat dalam lagu ini benar-benar difahami.
“Ada yang berkongsi tentang kali pertama beraya tanpa ibu bapa, ada juga yang kehilangan pasangan atau adik-beradik. Bila mereka kata lagu ini menemani mereka dan membantu mereka meluahkan perasaan, itu sangat memberi kesan kepada saya. Pada saat itu, saya rasa lagu ini bukan lagi milik saya, tetapi milik mereka yang melalui kehilangan itu,” ujarnya.










