KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin mengakui tidak sabar menantikan sambutan Aidilfitri tahun ini yang disifatkannya cukup berbeza berbanding tahun lalu.
Menurut Fattah, jika tiada perubahan jadual, dia merancang untuk terlebih dahulu pulang ke Kuala Lumpur bagi meluangkan masa bersama ibu bapanya sebelum bergerak ke Johor Bahru untuk beraya bersama keluarga isterinya.
“Selepas itu mungkin saya akan ke Johor Bahru. Keluarga saya berada di Kuala Lumpur, jadi dari awal lagi saya akan bersama ibu bapa dahulu. Selepas itu barulah kami ke Johor Bahru,”katanya.
Dalam pada itu, Fattah turut meluahkan rasa teruja menyambut Aidilfitri bersama isterinya, Amirah sebagai sebahagian daripada keluarga, berbeza dengan pengalaman tahun lalu.
“Tahun lepas saya beraya di rumah Amirah sebagai tetamu, tetapi tahun ini sebagai ahli keluarga. Saya memang tidak sabar dan rasa teruja.
“Sekarang pun saya cuba mencari masa untuk berpuasa di Johor Bahru juga. Untuk Hari Raya nanti, saya sendiri belum dapat bayangkan bagaimana suasananya bersama keluarga Amirah, tetapi saya berharap semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Berkongsi pengalaman sepanjang menjalani ibadah puasa bersama isterinya tahun ini, Fattah berkata, mereka sering meluangkan masa memasak bersama apabila mempunyai kelapangan.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Amirah memang rajin memasak dan suka berkongsi resipi. Saya pula kadang-kadang cadangkan resipi dan dia yang memasak, saya bantu cari bahan.
“Kami akan bersahur bersama dan kalau ada masa lapang kami juga berbuka bersama. Tetapi jika jadual kerja sibuk, kadang-kadang kami tidak dapat berbuka bersama,” katanya.
Antara menu yang pernah dicuba ialah puding karamel hasil resipi daripada Khairul Aming.
“Alhamdulillah menjadi. Sebenarnya banyak juga resipi Khairul Aming yang saya hantar untuk dicuba,” katanya.










