Bella Dally teruja sambut Aidilfitri di Sabah - Utusan Malaysia

 Bella Dally teruja sambut Aidilfitri di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Bella Dally mengakui teruja untuk menyambut Aidilfitri tahun ini di kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah bersama keluarga tercinta.

Menurut Bella, dia dan suaminya mengamalkan sistem bergilir setiap tahun untuk pulang beraya di kampung masing-masing. Tahun ini merupakan giliran Bella untuk pulang ke Sabah.

“Tahun ini giliran saya, jadi kami akan sambut Raya di Kota Kinabalu bersama keluarga saya. Tahun lalu kami beraya di Kuala Lumpur bersama keluarga suami,” katanya.

Walaupun mengakui suasana Aidilfitri di Sabah tidak terlalu meriah kerana keluarganya kecil, Bella tetap menghargai peluang untuk meluangkan masa bersama ibu bapanya.

“Kalau di Sabah, suasananya agak sederhana kerana keluarga saya tidak begitu besar. Berbeza dengan keluarga suami yang lebih ramai. Biasanya tengah hari pun sudah selesai kunjung-mengunjung,” ujarnya.

Tambah Bella, antara perkara yang paling dinantikannya ketika Ramadan dan Aidilfitri di Sabah adalah mengunjungi bazar Ramadan serta menikmati makanan yang mempunyai cita rasa berbeza.

“Bazar Ramadan di Sabah memang menarik. Makanan di sana sedikit berbeza, contohnya murtabak yang lebih kepada gaya Jawa. Itu antara yang saya suka,” katanya.

Dalam pada itu, Bella turut meneruskan tradisi memberi duit raya kepada anak-anak buah serta kanak-kanak yang datang berkunjung.

“Duit raya memang ada untuk anak-anak buah dan kanak-kanak. Malah saudara-mara yang tidak bekerja pun biasanya akan dapat juga,” katanya sambil tersenyum.

Bercerita mengenai hidangan istimewa Aidilfitri, Bella berkata keluarganya mempunyai satu menu tradisi yang sering disediakan setiap kali Hari Raya iaitu ayam masak lengkuas.

“Hidangan yang selalu ada ialah ayam masak lengkuas. Ia dimasak dengan banyak lengkuas dan rasanya sangat berempah. Itu antara makanan kegemaran saya setiap kali Raya,” katanya.

Menurut Bella, resipi tersebut sebenarnya berasal daripada pembantu rumah yang pernah menjaganya sejak kecil selama hampir 20 tahun.

“Resipi itu daripada pembantu rumah yang menjaga saya sejak kecil. Setiap tahun ibu saya akan masak hidangan itu untuk keluarga,” jelasnya.

Selain menikmati hidangan tradisi keluarga, Bella turut membantu menyediakan beberapa juadah kegemaran suaminya seperti lontong dan rendang.

“Saya belajar masak beberapa hidangan kegemaran suami seperti lontong dan rendang. Biasanya saya akan masak juga ketika Raya,” katanya.

Walaupun kehidupannya kini lebih tertumpu kepada perniagaan, Bella mengakui sambutan Aidilfitri tetap menjadi momen istimewa untuk berkumpul bersama keluarga tersayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN