Azharina terima pengiktirafan 100 Wanita Nasional Inspirasi 2026 - Utusan Malaysia

Azharina terima pengiktirafan 100 Wanita Nasional Inspirasi 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor tanah air, Azharina Binti Azhar, terus mengukir kejayaan apabila menerima pengiktirafan dalam majlis 100 Wanita Nasional Inspirasi 2026 yang berlangsung semalam.

Pengiktirafan berprestij itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kepimpinan, ketabahan serta sumbangan beliau dalam memperkasa wanita dan komuniti.

Majlis yang diadakan di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur itu telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, YM Puteri Shahanaz Hazlin binti Hamdan BCM.

Lebih membanggakan, Azharina muncul sebagai satu-satunya wakil dari industri seni yang menerima anugerah tersebut, sekali gus membuktikan bahawa figura hiburan juga mampu memainkan peranan besar dalam memberi impak positif kepada masyarakat.

Dalam ucapannya, beliau meluahkan rasa syukur atas penghargaan yang diterima selain menitipkan kata-kata semangat kepada golongan wanita.

“Saya amat bersyukur dan terharu menerima penghargaan ini. Kepada semua wanita di luar sana, jangan mudah mengalah. Teruskan berusaha dan kekal positif walau apa pun cabaran yang dihadapi. Percayalah, setiap langkah dan usaha kita mempunyai makna serta potensi besar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, IKSnita, Azharina Entertainment, pereka fesyen Nik Hafiz dan Anaff Maspur, jurusolek Ashy Reef serta para peminat setia.

Tidak dilupakan, dua anaknya, Rahmat dan Redha, yang disifatkan sebagai sumber kekuatan dan inspirasi dalam kehidupan hariannya.

Terdahulu, Azharina turut mencipta nama di peringkat serantau apabila dipilih sebagai ahli panel dalam persidangan ASEAN Women’s Conference on Best Practices (AWCOBP) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Pengiktirafan terbaharu ini dilihat sebagai pemangkin untuk beliau terus menyumbang kepada masyarakat, khususnya dalam memberi inspirasi kepada generasi muda.

Menurutnya, kejayaan bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya tanggungjawab untuk menjadi contoh serta menyebarkan aura positif kepada orang sekeliling.

“Saya berharap penghargaan ini dapat menyuntik inspirasi dan keyakinan kepada wanita agar terus melangkah, berani bermimpi dan tidak mudah berputus asa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN