Asyik joget-joget, mana pergi lagu raya sedih? - Utusan Malaysia

Asyik joget-joget, mana pergi lagu raya sedih?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA kita melihat trend lima tahun belakangan ini, semua pengkarya akan mula menghasilkan lagu raya yang boleh mendominasi pasaran TikTok. Bagi mencapai tujuan ini, lagu-lagu dihasilkan elemen lebih kurang serupa iaitu mesti bersifat rancak, lirik yang santai dan mempunyai tarian yang mudah diikuti jika melihat kepada lagu raya paling popular Raya, Raya, Raya (Dolla), Meriah Lain Macam (Hael Husaini, Nadeera), Ketipak Ketipung Raya (Aziz Harun, Aisha Retno), Raya Mana? (Nabila Razali), Serumpun (Mimi Fly) dan lain-lain. 

Tidak hanya itu, kita juga semakin melihat evolusi terutama daripada sentuhan muzik menggabungkan bunyi-bunyian moden bersifat pop yang adakalanya sedap didengar, namun tidak berjaya menangkap rasa nostalgia yang terikat dalam kenangan sambutan hari raya Aidilfitri.

Tiada masalah untuk menghasilkan lagu-lagu rancak namun terbit juga persoalan di manakah perginya lagu-lagu raya bernada sayu dan berlirik syahdu? Ini kerana hari raya tidak hanya tentang keseronokkan tetapi juga kerinduan, penyesalan dan keampunan yang membuat kita sejenak bermuhasabah kembali kepada fitrah seperti yang pernah dirakam Pulanglah (Aishah), Dendang Perantau (P Ramlee), Air Mata Syawal (Siti Nurhaliza). 

Mengulas mengenai perkara itu, komposer dan penyanyi, Ajai, turut merasai ‘kepupusan’ lagu raya sedih kerana tenggelam dengan lagu bernada riang yang membanjiri pasaran muzik tempatan dalam tempoh lima tahun belakangan ini. 

“Mungkin zaman ini orang kejar trend, jadi semuanya banyak hasilkan lagu rancak. Kita semakin kekurangan lagu-lagu yang perlahan. Saya fikir perlu ada pengkarya yang mahu mengisi ruang kosong itu.

“Jika semua buat lagu raya dengan gaya yang lebih kurang sama, kita tak ada kelainan. Saya tidaklah sampai rasa nak halang buat lagu rancak, sebab mana ada undang-undang kata begitu. Cuma kalau ada kreativiti, boleh sahaja diketengahkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, menurut Ajai atau Mohamad Faizal Maas, 50, lagu bernada sedih bukanlah dicipta saja-saja, tetapi juga mewakili dan merakam rasa sedih yang dialami sebahagian orang semasa sambutan hari raya. 

“Lagu sedih ini akan buat kita nak balik kampung beraya bila masing-masing dah lama tak pulang jumpa emak dan abah. Cuma saya juga ingin tekankan pentingnya para penyanyi mempunyai gaya dan identiti tersendiri. Saya tabik dengan Mimi Fly yang berjaya memberikan sesuatu dan buat orang Melayu khususnya nak dengan lagu yang dihasilkannya,” katanya.

Baru seminggu Ramadan berlalu, perang lagu raya tahun ini tidak kurang meriahnya. Bahkan sudah ada kontroversi membabitkan lagu raya oleh pempengaruh di awal puasa kononnya ‘cover art’ yang dihasilkan menyerupai lukisan The Last Supper yang terkenal. Begitu juga dengan artis yang menghasilkan video muzik dengan kesan janaan buatan. 

Bagaimanapun, Ajai tidak mahu membicarakan lebih dalam tentang perkara itu melainkan membawa masyarakat dan pengkarya untuk meneliti kualiti lagu yang dihasilkan. Bagi penerbit Album Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-11, pengkarya selalu culas memahami kekuatan elemen budaya yang perlu ada dalam sebuah lagu raya.

“Trend lagu sekarang tak ada masalah cuma kena belajar masukkan bunyi gendang, seruling. Tak kisah kalau dari segi muzik nak berubah moden cuma unsur kemelayuan itu perlu ada dan menyentuh perasaan.

“Lagu arwah Saloma, lagu-lagu dia ada unsur ‘twist’ tapi masih rasa unsur meriah itu. Kalau zaman sekarang boleh contohi Aisha Retno dan Aziz Harun, Ketipak Ketipung Raya. Ada elemen joget Melayu.

“Kalau perasan, lagu yang hit mesti muzik yang orang Melayu suka. Itu asas yang paling kuat,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pandangan Ajai mengenai lagu raya yang gagal mencuri perhatian pendengar, komposer terkenal itu mengajak pengkarya untuk menilai semula susunan lagu yang dihasilkan untuk sesuatu karya.

“Kaji juga apa ‘selling point’ dalam lagu yang boleh diperbaiki untuk tahun akan datang.

Kekuatan lagu raya ni sebenarnya terletak pada melodi yang dirangkum dengan susunan yang bersesuaian.

“Cuma ada juga lagu yang dihasilkan pasarannya tidak besar. Sesiapa boleh buat lagu raya cuma selepas tu rezeki masing-masinglah, lagu yang mana masuk ke hati orang untuk hari raya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN