Di sebalik kesibukan dunia seni yang sering menuntut tenaga dan komitmen tinggi, pelakon dan pelawak, Ammar Titan mempunyai cara tersendiri untuk mengisi masa lapang.
Bagi Ammar atau Azizul Ammar Abu Hassan, dunia sukan bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi ruang untuknya mencari keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Antara yang paling dekat di hatinya adalah sukan seni mempertahankan diri, Muay Thai. Aktiviti tersebut bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi juga melatih ketahanan mental.
Menurut Ammar, minatnya terhadap Muay Thai bermula pada 2016 dan sehingga kini ia kekal sebagai rutin yang sukar dipisahkan daripada hidupnya selain menganggap setiap sesi latihan memberi kepuasan tersendiri.
“Saya memang suka Muay Thai kerana ia aktiviti sukan yang boleh dijadikan rekreasi dan pada masa sama menyihatkan tubuh badan.
“Selain itu, melalui Muay Thai kita juga dapat mempelajari satu bentuk seni mempertahankan diri serta dapat melatih disiplin diri,” katanya kepada Pancaindera.

Selain Muay Thai, Ammar juga mula berjinak-jinak dengan sukan pickleball yang semakin popular kebelakangan ini. Walaupun masih baharu dalam sukan tersebut, dia mengakui permainan itu cukup menyeronokkan ketika bermain bersama rakan-rakan.
Tambah pelawak berusia 39 tahun itu, dia tetap komited meluangkan masa untuk mengikuti sesi latihan Muay Thai walaupun jadual kerjanya kadangkala padat.
“Selalunya kalau tiada kerja, saya akan pergi berlatih Muay Thai sekitar pukul 10 atau 11 pagi. Kalau ada kerja tengah hari, saya akan selesaikan kerja dahulu, begitu juga pada waktu malam.
“Muay Thai memang agak mencabar bagi mereka yang tidak biasa, pada peringkat awal mungkin akan merasakan tekanan yang agak tinggi ketika latihan. Tetapi bagi saya, selepas menyertai kelas Muay Thai, saya dapat meningkatkan stamina dan tahap kecergasan.
“Tujuan utama saya sebenarnya hanya untuk berpeluh dan memastikan badan sentiasa cergas,” jelasnya.

Dalam masa sama, Ammar menganggap Muay Thai merupakan seni mempertahankan diri yang baik untuk dipelajari demi membuat persiapan awal sekiranya berdepan dengan sebarang perkara tidak diingini.
“Muay Thai satu bentuk seni mempertahankan diri yang sangat baik. Bukanlah saya terlalu hebat, tetapi sekurang-kurangnya jika berlaku sesuatu yang tidak diingini di luar sana, kita boleh mempertahankan diri untuk satu atau dua langkah sebelum beredar dari situasi tersebut,” ujarnya.
Bercerita tentang tempat latihan, Ammar memaklumkan dia pernah menjalani latihan di American Muay Thai, sebelum bertukar angin di Muay Thai Fitness Lab.
Ditanya mengenai modal terbesar yang pernah dilaburkan, Ammar mengakui dia sanggup berhabis ribuan ringgit untuk terbang ke Thailand demi membeli peralatan dan mendalami sukan Muay Thai di sana pada awal penglibatannya dalam sukan tersebut.
“Setiap kali saya dan rakan pergi ke Thailand, kami akan membeli peralatan Muay Thai di sana kerana harganya lebih murah berbanding di sini. Walaupun perlu membeli tiket penerbangan, bagi saya ia masih berbaloi. Anggaran perbelanjaannya lebih RM1,000.
“Selain membeli peralatan, saya juga pernah berlatih di sana untuk merasai sendiri pengalaman latihan Muay Thai di negara asalnya. Saya pernah berlatih dengan salah seorang petarung terkenal, iaitu Saenchai,” kongsinya.
Bagaimanapun, Ammar menasihatkan peminat sukan tersebut agar tidak terlalu berbelanja hanya kerana minat semata-mata serta bijak mengikut kemampuan diri.
“Jika ditanya tentang tips supaya tidak berbelanja secara berlebihan untuk hobi, bagi saya semuanya bergantung kepada kemampuan diri. Kita perlu menetapkan had perbelanjaan. Ada orang membeli peralatan biasa sahaja.
“Namun ada juga yang benar-benar serius dan sanggup melabur lebih untuk mendapatkan peralatan berkualiti seperti jenama Yokkao, Twins, atau Primo. Tepuk dada, tanya selera dan ukurlah baju di badan sendiri sebelum berbelanja,” ujarnya.










