RATA-rata hero dan heroin Filipina hadir dengan rupa paras menarik.
Ini kerana, dunia drama dan perfileman di sana benar-benar menekankan tarikan fizikal sebagai formula untuk memasarkan drama dan filem mereka.
Hero Filipina yang sebelum ini popular di peringkat antarabangsa antaranya Piolo Pascual, Diether Ocampo, Jericho Rosales, Coco Martin dan ramai lagi.
Sekarang tempat mereka diambil alih nama-nama baharu yang meledak dan mencuri tumpuan. Berikut 4 aktor Filipina yang sedang mencipta nama.
DONNY PANGILINAN
Donato Antonio Laxa Pangilinan bukan sahaja tampan, tetapi juga berbakat besar dalam pelbagai bidang seni.
Donny Pangilinan berkebolehan sebagai pelakon, model, pengacara dan penyanyi.
Dia setakat ini melakonkan 12 filem, 17 drama dan pernah muncul dengan sebuah album sekitar tujuh tahun lalu.
Graduan Philippines Open University ini pernah dilabel bayi nepo kerana lahir dalam keluarga seni.
Ibunya, aktres popular Maricel Laxa manakala datuknya juga pelakon terkenal, Tony Ferrer.
JOSHUA GARCIA
Sebelum bergelar selebriti, Joshua, 28, merupakan seorang penari kumpulan kebudayaan Filipina.
Namanya mula popular setelah dia menyertai Pinoy Big Brother: All In pada 2015.
Joshua disambar sutradara Jeffrey Jeturian, Mervyn B. Brondial dan Cathy O. Camarillo untuk membintangi drama Nasaan Ka Nang Kailangan Kita pada tahun yang sama.
Bakat lakonannya menyerlah dalam filem Barcelona: A Love Untold sehingga melayakannya tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada The Filipino Academy of Movie Arts and Sciences (FAMAS).
ENRIQUE GIL
Enrique Mari Bacay Gil V melangkah masuk ke dunia hiburan sebagai pelakon iklan televisyen ketika dia berusia 16 tahun.
Pembabitan pertamanya dalam drama televisyen adalah menerusi watak Harold yang dilakonkannya dalam drama aksi, Pieta.
Enrique dikategorikan sebagai pelakon buruan sutradara kerana bukan sahaja kacak, malah berbakat besar. Dia setakat ini sudah menjayakan 27 drama dan 20 filem.
ALDEN RICHARD
Richard Reyes Faulkerson Jr. merupakan pelakon, pengacara, penyanyi, pengarah filem dan usahawan.
Dilahirkan di Quezon City, Filipina, Alden merupakan antara bintang yang bermula sebagai model.
Pelakon berusia 34 tahun ini mula dikenali menerusi drama fantasi, Alakdana. Dia kemudian terbabit dalam drama bergenre romantik, One True Love.
Kebanyakan filem lakonannya pula berjaya mencatat kutipan pecah panggung, antaranya Ang Panday 2, Si Agimat, Hello, Love, Goodbye dan banyak lagi.










