Ahmad Nawab kalahkan P.Ramlee - Utusan Malaysia

Ahmad Nawab kalahkan P.Ramlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA fikir, tiada siapa boleh terbabit dalam penerbitan lagu untuk 42 buah filem,”

DEMIKIAN kata anak kepada Seniman Negara Ketujuh, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab iaitu Nassier Khan, 62, ketika berbicara mengenai bakti yang dicurahkan bapanya kepada industri muzik negara semasa masih hidup. 

Menyelak kembali pembabitan Ahmad Nawab sebagai penerbit lagu untuk filem, semuanya bermula ketika Allahyarham bekerja dengan orkestra Radio Televisyen Malaysia sekitar tahun 1960 sebagai pengarah muzik. Salah seorang pengarah waktu itu, Datuk L Krishnan kemudian menawarkan Ahmad Nawab untuk menjadi penerbit muzik untuk salah satu filemnya iaitu Tun Tijah.

Siapa sangka, peluang tersebut juga membuka satu lagi pintu rezeki buat Ahmad Nawab apabila kekuatan dalam seni penghasilan lagu dalam Tun Tijah rupanya sampai kepada pengetahuan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Menurut Nassier, bapanya sempat diserang demam kerana tertekan mahu menyelesaikan tugas mencipta runut bunyi dan skor filem pertamanya buat P.Ramlee.

Maka bermulalah episod kolaborasi dan kerjasama antara Ahmad Nawab dalam filem-filem P.Ramlee bermula dengan Sitora Harimau Jadian yang diterbitkan pada 1965. Sepanjang hayatnya, Ahmad Nawab pernah menerbitkan lagu untuk lima buah filem P.Ramlee seperti Masam Manis, Ragam P Ramlee dan Nasib Do Re Mi.

“P.Ramlee mahu bapa cuba dan bagi tawaran itu. Seminggu selepas itu dia demam sebab pertama kali dapat banyak tugas iaitu penerbit muzik juga pengarah muzik untuk satu filem.

“Perkara itu sudah tentu tidak mudah sebab bapa kena siapkan bukan hanya runut bunyi tetapi juga skor muzik latar sepanjang filem itu. Contohnya dalam filem Masam Masam Manis, bunyi saksofon itu sebenarnya bapa juga yang tiup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru baru ini.

Tambah Nassier lagi, arwah bapanya mempunyai lapan saksofon pelbagai saiz. Malah saksofon yang digunakan dalam filem itu juga masih elok terjaga sehingga hari ini di rumah mereka.

Tidak hanya itu, Ahmad Nawab juga diberi kepercayaan oleh P.Ramlee untuk menghasilkan lagu buatnya dan juga isterinya, Saloma melihat kepada lagu Bintang Malam yang menjadi sangat popular ketika itu. Saloma merakamkan semua lagu nyanyian asal Zaharah Agus itu untuk filem Do Re Mi pada 1966.

Diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR)

Sepanjang kerjaya sebagai penerbit muzik untuk filem, Allahyarham Ahmad Nawab menghasilkan kira-kira 200 buah lagu untuk 42 buah filem. Pencapaian itu diiktiraf Penerbitan Muzik Sinematik Terbanyak atau The Most Cinematic Music Production oleh Malaysia Book of Records (MBOR), baru-baru ini.

Rekod itu menunjukkan tidak ada sesiapa yang mempunyai kejayaan setanding Ahmad Nawab termasuklah sahabatnya sendiri, P.Ramlee.

“Dalam satu filem bukan hanya satu lagu yang beliau cipta. Filem Hapuslah Air Matamu ada 11 lagu yang dicipta arwah bapa dan kesemuanya muncul hit pada ketika itu.

“Jadi adalah sangat mustahil ada orang yang boleh menandingi beliau. Kita juga bukan bercakap pasal satu genre saja, arwah hasilkan banyak genre merangkumi filem purba, komedi dan berbagai lagi,” katanya Nassier lagi.

Ini adalah pengiktirafan MBOR kedua diterima arwah Ahmad Nawab, pencapaian pertamanya menerusi Komposer Dengan Lagu Terbanyak Dirakamkan, iaitu sekitar 2,000 buah lagu pada  2006.

“Kalau kita sebut nama Ahmad Nawab, ada generasi muda yang tidak mengenali beliau lebih-lebih lagi dengan pengaruh muzik dari luar.

“Secara tak langsung, bila saya usahakan perkara sebegini, sekurang-kurangnya dapatlah perkenalkan nama Ahmad Nawab.

“Selain pengiktirafan MBOR, saya juga menerbitkan buku Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab yang memuatkan nota rujukan muzik untuk diedarkan secara percuma ke perpustakaan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) supaya mereka dapat mengenali arwah bapa,” katanya .

Sebagai anak yang diamanahkan untuk menjaga segala khazanah tinggalan Ahmad Nawab, Nassier merancang untuk membuka galeri khas namun hasrat itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya mendapat sokongan daripada agensi kerajaan.

“Perancangan nak buka galeri memang ada cuma kami menantikan tawaran daripada mana-mana agensi dan kementerian yang berminat.

“Perancangan itu kena datang dari pihak kerajaan barulah nampak yang legasi ditinggalkan Ahmad Nawab dihargai dan diiktiraf,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN