Agak tidak matang jika saya terasa hati – Marsya Qistina - Utusan Malaysia

Agak tidak matang jika saya terasa hati – Marsya Qistina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada usia 23 tahun, penyanyi, Marsya Qistina yang juga anak kepada penyanyi, Liza Hanim menunjukkan kematangan dalam berdepan sepak terajang dunia hiburan tanah air. Usaha segelintir pihak berhati busuk yang ingin melihat pendatang baru ini jatuh ternyata sia-sia. Malah juara pertandingan Talk To My Manager musim pertama ini juga tenang apabila dibanding-bandingkan dengan pendatang baharu lain. Berikut wawancara bersama Marsya Qistina.

Bagaimana penerimaan Marsya apabila ada individu yang sengaja membanding-bandingkan pencapaian Marsya dengan peserta TTMM yang lain?

Saya tidak nafikan memang saya kurang menerima tawaran menyanyi jika dibandingkan dengan peserta TTMM yang lain. Bagi saya perkara itu logik kerana sebelum TTMM lagi, peserta lain sudah pun dikenali masyarakat manakala saya pendatang baru dan tidak memiliki pengikut media sosial yang ramai. Mungkin itu sebabnya saya kurang menerima tawaran nyanyian.

Dakwaan kurang tawaran itu membuatkan segelintir juga bersepsi yang Marsya langsung tidak mendapat undangan menyanyi, bagaimana Marsya ingin jelaskan salah faham ini?

Sebenarnya bukanlah saya ini langsung tidak menerima tawaran menyanyi. Yang mengikuti perkembangan saya tahu yang saya juga ada diundang membuat persembahan termasuklah dengan ibu saya dalam majlis tertentu. Dan sebenarnya saya bukanlah menyanyi sahaja, sebaliknya turut melakukan kerja-kerja belakang tabir.

Adakah ‘jentikan-jentikan’ jahat sebegini membuat Marsya terguris hati?

Saya langsung tidak terasa hati kerana menjangkakan perkara begini pasti berlaku. Seperti saya katakan ada rakan-rakan lain yang pun sudah dikenali sebelum mereka sertai TTMM lagi. Jadi, agak tidak matang jika saya yang berusia 23 tahun ini terasa hati apabila kawan-kawan saya dalam TTMM menerima lebih banyak tawaran menyanyi berbanding saya. saya percaya peluang saya juga akan ada nanti.

Apa pandangan Marsya apabila rakan-rakan TTMM tampil mempertahankan Marsya daripada serangan buli siber?

Kami memang rapat. Ketika saya berdepan buli siber, antara kawan-kawan terawal yang hubungi saya adalah Amad Dayyan dan Thalita Shuib. Mereka bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat. Begitu juga Auddra yang mempertahankan saya menerusi kenyataannya dalam wawancara bersama media. Kami ini sebenarnya saling menyokong antara satu sama lain.

Pernahkah terbit rasa menyesal apabila kerap menjadi sasaran buli siber setelah menyertai TTMM?

Saya tidak pernah menyesal menyertai TTMM. Pembabitan saya dalam pertandingan itu semata-mata kerana minat dalam bidang nyanyian. Dan sejak awal lagi saya sedar yang saya akan ambil masa untuk dikenali masyarakat. Bukan saya sahaja melalui keadaan ini, penyanyi-penyanyi ternama pun pernah berdepan situasi sama. Lagi pun saya sudah dewasa, mampu berdepan pandangan negatif. Apa keadaan sekali pun saya harus hadap juga situasi ini.

Bagaimana pula dengan laporan polis yang dibuat ibu Marsya, adakah memadai untuk memberi pengajaran kepada pembuli siber?

Awalnya saya tidak setuju dengan tindakan itu. Tapi selepas itu saya faham tujuan ibu yang mahu melindungi saya. Dan undang-undang kita menetapkan akta yang membolehkan pelaku dikenakan tindakan, jadi kenapa tidak kita gunakan saluran itu untuk lindungi hak kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN