Selepas beberapa tahun menyepi dari dunia seni, pelakon yang pernah meraih gelaran Naib Juara Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar akhirnya kembali aktif mewarnai industri hiburan tempatan.
Kehilangannya sebelum ini bukanlah kerana tawaran yang semakin surut, sebaliknya pelakon tersebut mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada pengajian dalam bidang undang-undang sehingga berjaya menamatkan pengajian dan menjalani latihan sebagai peguam.
Menurut Adriana, keputusan untuk memperlahankan kerjaya seni ketika itu bukanlah sesuatu yang mudah. Namun dia percaya ilmu merupakan pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat dalam kehidupannya.
“Sebenarnya saya mula aktif dalam industri sekitar 2019. Selepas itu kita semua melalui tempoh PKP dan keadaan agak perlahan. Kemudian pada 2022 saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian secara serius.
“Dari tahun 2023 hingga 2025 saya benar-benar fokus kepada pengajian. Tahun ini barulah saya kembali aktif semula dalam industri seni,” katanya ketika ditemui Pancaindera baru-baru ini.
Adriana yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya turut mendedahkan bahawa dia kini sebenarnya layak bergelar peguam selepas menamatkan latihan chambering.
“Saya sudah habiskan pengajian undang-undang dan juga chambering. Jadi, sebenarnya saya merupakan peguam bertauliah. Cuma buat masa ini saya memilih untuk tidak mempraktikkan kerjaya tersebut dahulu.
“Bukan bermakna saya tinggalkan terus bidang itu, tetapi saya ‘hold on’ dulu impian tersebut kerana sekarang saya mahu memberi fokus kepada lakonan dan juga pengacaraan,” jelasnya.
Tambah Adriana, latar belakang akademik itu bukan sesuatu yang sia-sia walaupun dia kini kembali aktif dalam dunia seni.
“Ramai juga yang cakap, ‘sayangnya belajar lama tapi tak guna’. Tapi bagi saya tiada istilah sia-sia. Ijazah itu masih saya genggam dan bila-bila masa sahaja saya boleh kembali kepada bidang guaman.
“Kalau satu hari nanti saya mahu buka firma guaman sendiri pun boleh. Jadi, bagi saya ilmu itu tetap ada dan sentiasa boleh digunakan,” katanya.

Janji kepada keluarga
Dalam masa sama, Adriana mengakui menyambung pengajian sehingga tamat merupakan janji yang dibuat kepada dirinya sendiri dan juga kepada keluarga.
Menurutnya, keluarga mahukan dia menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk mengejar minat dalam bidang seni.
“Sebenarnya sambung belajar itu adalah janji saya kepada diri sendiri dan juga kepada keluarga. Mereka selalu cakap kalau tak habiskan pengajian sampai chambering, itu barulah sia-sia.
“Jadi, saya kuatkan semangat untuk habiskan dahulu. Apabila semuanya sudah selesai, barulah saya rasa sudah tiba masa untuk kembali mengejar minat dalam industri seni,” katanya.
Mengulas reaksi keluarga terhadap pilihannya menyertai bidang hiburan, Adriana berkata, pada awalnya mereka sedikit bimbang kerana industri tersebut mempunyai pelbagai cabaran.
“Pada mulanya memang ada rasa gentar daripada pihak keluarga sebab mereka mungkin tidak begitu tahu bagaimana perjalanan kerjaya dalam industri seni.
“Tapi Alhamdulillah akhirnya mereka tetap memberi sokongan. Mereka cuma pesan supaya saya jaga diri dan jangan lupa diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Adriana, ilmu undang-undang yang dimilikinya juga boleh dimanfaatkan dalam kerjaya seni, malah menjadi satu kelebihan dalam industri.
“Saya rasa undang-undang dan seni sebenarnya ada kaitan. Saya juga seorang penulis buku dan bila menulis saya banyak menggunakan konsep ‘Law and Literature’.
“Selain itu, ilmu undang-undang juga boleh menjadi satu perlindungan untuk diri saya dalam industri ini. Sekurang-kurangnya kita lebih berhati-hati dan tahu apa yang perlu dibuat. Bidang undang-undang ini luas.
“Kalau ada perkara yang melibatkan kontrak atau hak dalam industri, mungkin saya boleh beri sedikit pandangan kepada rakan-rakan artis juga,” ujarnya.










