PELAKON veteran, Kismah Johar gagal menahan rasa teruja apabila pada Disember tahun lepas beliau dimaklumkan yang musim ketiga drama popular, Keluarga Iskandar bakal dihasilkan dan ditayangkan tahun ini.
Kismah yang memegang watak Mak Jah, tidak menyangka hasrat peminat yang selama ini bertanyakan mengenai musim ketiga drama fenomena itu, akhirnya terlaksana tahun ini.
“Selepas musim kedua, peminat, yang terjumpa saya, sama ada di pasar atau di mana sahaja, pasti akan bertanya mengenai musim ketiga.
“Jawapan saya, kalau peminat berikan respons yang baik, produksi berkemungkinan akan sambung.
“Alangkah terkejutnya saya apabila pada tahun lepas saya dimaklumkan yang drama ini benar-benar disambung tahun ini. Alhamdulillah, hasrat peminat akhirnya benar-benar tercapai,” katanya.
Menurut Kismah, sokongan luar biasa peminat menjadikan drama berkenaan terus relevan dan dinanti-nantikan.
“Peminat ini, mereka tonton berulang kali musim satu dan dua, termasuk Keluarga Iskandar The Movie. Itu yang buat kami rasa sangat dihargai,” katanya.
Menurut pelakon berusia 73 tahun itu, meskipun pernah diwujudkan dalam drama yang lain, karakter Mak Jah menerusi Keluarga Iskandar tetap meninggalkan kesan tersendiri kepada penonton kerana perwatakannya yang keibuan.
“Mak Jah ini seorang ibu yang cerewet dengan anak-anak, sangat mengutamakan disiplin dan memang suka membebel. Tapi pada masa sama, dia kelakar.
“Ada peminat berkata apabila menonton Mak Jah, mereka teringat ibu mereka yang sudah meninggal dunia. Bila baca komen begitu, saya rasa sangat terharu,” ujarnya.

Kismah dalam masa sama tidak menafikan penceritaan yang berbeza berbanding kebanyakan drama yang dipertontonkan kini menjadikan Keluarga Iskandar menarik di mata penonton.
“Jalan ceritanya berbeza, tidak terikat dengan kisah percintaan sahaja, malah tiada isu perceraian, konflik suami isteri, isu curang dan perampas kebahagiaan orang lain.
“Keluarga Iskandar tentang kisah keluarga seharian, kehidupan penuh warna yang ada bahagian kelakar dan serius.
“Penonton jadi terhibur. Sekurang-kurangnya, kalau penonton buka televisyen, mereka ada pilihan. Tidaklah asyik menonton cerita yang sama.
“Tambah lagi pada masa sekarang ini sudah terlalu jarang drama berkonsepkan kekeluargaan seperti dihasilkan. ini. Itu yang membuatkan Keluarga Iskandar menonjol,” katanya.

BERMULA LEWAT
Bercerita mengenai sejarah pembabitan, Kismah berkata, beliau mula menceburkan diri dalam dunia lakonan sekitar usia 30-an.
“Saya mendirikan rumah tangga ketika berusia 21 tahun. Sebelum menjadi pelakon, saya bekerja sebagai kakitangan kerajaan.
“Saya masuk ke dunia lakonan agak lewat, pada usia 30-an. Ketika itu saya sudah memiliki dua cahaya mata,” ceritanya.
Menurut Kismah, drama awal dilakonkannya adalah Naik Tangga Turun Tangga yang ditayangkan pada era 80-an.
“Saya dulu tinggal berjiran dengan adik kepada pelakon Nora Shamsudin. Dia yang membawa saya masuk ke dalam dunia lakonan, membawa watak guru dalam drama Naik Tangga Turun Tangga.
“Bertitik tolak saat itu, selepasnya saya ditawarkan berlakon drama lain, antaranya Ceraian Harapan.
“Saya bernasib baik kerana suami tidak menghalang minat saya. Malah dia menyokong saya teruskan pembabitan dalam bidang itu,” kongsinya lagi.

73 SEKADAR ANGKA
Kismah bersyukur kerana masih diberikan kudrat untuk berlakon pada usia 73 tahun. Berkongsi amalan, beliau berkata pengambilan vitamin dan suplemen kesihatan sejak remaja menjadikan tubuh sihat dan kekal bertenaga di usia sekarang.
“Sejak muda saya amalkan pengambilan vitamin dan suplemen tambahan seperti B Complex, minyak ikan, vitamin C dan sebagainya.
“Kesannya pada tubuh badan saya sekarang, masih bertenaga dan cergas dan mampu aktif pada usia 73.
“Tapi saya juga selalu bersenam. Antara aktiviti kegemaran saya adalah berbasikal, setiap pagi, jika berkelapangan saya akan berbasikal pusing keliling taman perumahan saya,” ceritanya.
Kismah juga berterima kasih kepada Allah kerana memberi ingatan yang kuat pada usia tujuh dekad.
“Walaupun usia sudah lanjut, saya tidak malas dan selalu beraktiviti. Saya juga suka membaca dan melakukan kerja rumah. Kerana itu mungkin membuatkan memori saya masih kuat.
“Saya juga masih mampu menghafal dialog. Tetapi saya kena lakukan persediaan awal, cuba hafal (dialog) satu atau dua hari sebelum mula penggambaran,” katanya.










