PETALING JAYA: Selepas teruk dikecam, isteri kepada pelawak, Shuib, Watie Hanifiah tampil perjelaskan mengenai isu pemakaian anak tirinya, Thalita di majlis ‘gender reveal’ baru-baru ini.
Mengakui keinginan anak tirinya itu berubah seiring dengan usianya, Watie menjelaskan pada awalnya baju berona merah jambu yang dipakai Thalita sebelum ini tidak sepatutnya terdedah sebegitu.
Katanya, terdapat kesalahan teknikal yang berlaku sewaktu proses pemotongan kain dijalankan sekali gus menjadi asbab puteri kesayangan Shuib itu teruk dikecam.
“Sebenarnya baju hari itu tidaklah diminta terdedah sebegitu. Dia minta bahagian itu hanya atas bahu yang jenis sampan. Tetapi tukang jahit terlebih potong ke bawah.
“Bila perkara itu berlaku, saya sudah jangka Shuib akan marah. Sewaktu hari majlis, ramai sahaja ahli keluarga yang menegur.
“Shuib juga berharap Thalita tidak lagi mengenakan baju terdedah sedemikian. Dia tegur saya dengan lembut sahaja kerana yang menguruskan pakaian Thalita adalah saya,” katanya menerusi sebuah sesi siaran langsung di TikTok.
Dalam masa sama, Watie mengakui dirinya tetap mengizinkan Thalita mengenakan pakaian tersebut pada hari kejadian kerana berharap perkara itu menjadi pengajaran buatnya di kemudian hari.
“Saya izinkan dia pakai baju tersebut pada hari kejadian. Kalau saya halang, dia akan memberontak. Jadi, saya bagi dia pakai dan faham situasi selepas kecaman itu berlaku.
“Suatu hari itu dia sendiri sedar bahawa ramai yang mengecamnya. Jadi, dari situ dia dapat pengajaran bila berpakaian sedemikian. Selepas ini, dia boleh fikir sama ada mahu pakai atau tidak pakaian sebegitu,” jelasnya.
Terdahulu, Thalita teruk dikecam netizen kerana mengenakan gaun berona merah jambu yang ketat serta mendedahkan bahagian bahunya di majlis ‘gender reveal’ ibu tirinya.
Dalam masa sama, rata-rata netizen turut menegur Shuib dan Watie agar lebih peka terhadap cara pemakaian anak perempuannya yang dikatakan tidak bersesuaian dengan usianya yang baru 13 tahun.










