JOHOR BAHRU: Pempengaruh dan usahawan sensasi, Madam Mariyah mengakui hatinya tidak tertutup untuk kembali berumah tangga, namun berharap dipertemukan jodoh dengan pasangan yang sekufu, khususnya dari segi kestabilan kewangan.
Mariyah atau nama sebenarnya, Mariyah Yaakob, 51, bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya urusan jodoh kepada ketentuan Ilahi kerana percaya setiap perancangan Allah SWT adalah yang terbaik buat hamba-Nya.
“Insya-Allah, kalau ditakdirkan ada, itu adalah ketentuan Allah. Sudah tentu saya mengharapkan pasangan yang lebih daripada saya.
“Jika tidak sekufu, nanti timbul pula persepsi negatif seperti menumpang kesenangan isteri. Biasalah, mulut netizen ini pelbagai,” katanya pada majlis pelancaran pejabat urusan Auramaria di sini, hari ini.
Mengulas tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dirinya serik dan bersikap anti lelaki susulan kegagalan rumah tangga terdahulu, Mariyah menegaskan pandangan tersebut adalah tidak benar.
Menurutnya, sebelum membuka hati untuk menyayangi orang lain, seseorang wanita perlu meletakkan keutamaan kepada diri sendiri.
“Saya tidak anti lelaki. Apa yang saya tekankan ialah wanita perlu berdikari dan mempunyai sumber kewangan sendiri. Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
“Untung sabut kalau dapat suami yang ‘provider’, tetapi masa depan bukan di tangan kita. Sebab itu saya selalu ingatkan, suami hanyalah pinjaman daripada Tuhan,” jelasnya.
Tambah beliau, prinsip tersebut tidak bermakna hatinya tertutup untuk kembali berkahwin, sebaliknya lebih kepada persediaan diri dan ketenangan jiwa.
Sebelum ini, Mariyah sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya, dikenali sebagai Mr. S, di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru pada 30 September 2025 selepas hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Perceraian tersebut dilaporkan berpunca daripada kehadiran orang ketiga dan menjadi perhatian ramai apabila lafaz cerai dilakukan menerusi komen di siaran langsung TikTok pada 7 Ogos 2025.
Dalam perkembangan lain, Mariyah yang sebelum ini dikenali sebagai Mak Cik Kemboja terus mengorak langkah dalam dunia perniagaan dengan memperkenalkan tujuh produk baharu selepas kejayaan jenama Kopi Che Lims.
Beliau turut melahirkan rasa syukur apabila pejabat urusan Auramaria berjaya disiapkan dan dirasmikan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Alhamdulillah, pejabat urusan ini akhirnya berjaya dilancarkan dan banyak perancangan telah disusun untuk masa hadapan.
“Hari ini juga kami melancarkan tujuh produk baharu yang berkaitan dengan peningkatan aura diri,” katanya.










