Kehilangan insan tersayang bukan sesuatu yang mudah dilalui, apatah lagi apabila melibatkan ibu bapa yang menjadi tonggak kehidupan. Itulah hakikat yang dilalui oleh pengacara dan penyampai radio Hitz FM, Ili Ruzanna Iqbal yang mengakui perasaan rindu terhadap arwah ibunya tidak pernah hilang meskipun masa terus berlalu.
Menurut Ili, kehilangan ibu sekitar 2024 memberi kesan mendalam dalam hidupnya. Malah, kata Ili, pengalaman itu turut membentuk dirinya hari ini sehingga dia mengambil inisiatif untuk menghasilkan video siri 30 Hari Rindu Rasa Ibu.
“Mesej utama yang saya ingin sampaikan kepada penonton ialah tentang kehilangan, terutamanya kehilangan ibu bapa. Ia bukan sesuatu yang patut kita lalui sendirian dan sebenarnya lebih umum daripada yang kita sangkakan.
“Bagi diri saya sendiri, saya ingin benar-benar melalui emosi tersebut dan berhadapan dengan hakikat bahawa ibu saya sudah tiada. Walaupun sudah tiga tahun berlalu, kesedihan itu tetap ada dan bagi saya, kesedihan itu sesuatu yang sangat mendalam serta tidak akan pernah hilang sepenuhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Tambah Ili, dia hanya seorang anak perempuan yang pernah melalui kehilangan besar dalam hidup, namun berharap kisahnya dapat memberi kekuatan kepada orang lain yang senasib.
“Saya hanyalah seorang anak perempuan yang kehilangan ibu bapa dan saya yakin ramai yang boleh berhubung dengan perasaan ini. Kepada mereka yang masih mempunyai ibu bapa, hargailah masa bersama mereka.
“Luangkan sebanyak mungkin masa bersama ibu dan ayah kerana kita tidak pernah tahu bila mereka akan pergi. Saya sendiri tidak pernah menyangka akan kehilangan ibu pada usia 28 tahun,” ujarnya.

Mengimbau pengalaman sepanjang penggambaran sebuah program, Ili tidak dapat menahan air mata apabila sering teringatkan ibunya.
“Saya sering menangis setiap kali penggambaran kerana setiap ibu yang saya temui dalam siri ini mengingatkan saya kepada ibu saya. Sama ada melalui cara mereka bercakap, menegur, memasak, atau bahkan cara mereka mengacau kuali, semuanya membuatkan saya teringat kepada ibu.
“Ia sangat menyentuh hati saya kerana saya dapat melihat serpihan kenangan ibu saya dalam diri ibu-ibu yang lain. Saya sangat bersyukur kerana dapat merasai pengalaman itu sekali lagi, tetapi pada masa yang sama ia mengingatkan saya bahawa ibu sudah tiada. Ia seolah-olah saya berhadapan dengan ibu, tetapi sedar bahawa beliau sudah tiada,” luahnya.
Bercerita tentang kenangan bersama arwah ibu, Ili mengakui tidak banyak berpeluang belajar memasak kerana ibunya seorang yang tegas di dapur.

“Ibu saya sangat suka memasak dan arwah seorang yang tegas di dapur. Ibu lebih suka melakukan semuanya mengikut caranya sendiri, jadi saya tidak banyak berpeluang belajar memasak daripadanya. Saya sendiri bukanlah seorang yang pandai memasak, tetapi saya berharap selepas ini saya dapat belajar.
“Ibu saya seorang yang sangat rajin. Arwah dahulu sentiasa memastikan rumah dalam keadaan teratur, bersih dan menyediakan makanan setiap kali kami pulang. Saya masih ingat ketika saya berusia sekitar 13 atau 14 tahun, saya melihat ibu saya bekerja keras menguruskan rumah dan keluarga. Kenangan itu sangat kuat dalam ingatan saya,” ujarnya.
Lebih menyentuh hati, Ili mengakui masakan ibunya menjadi antara perkara yang paling dirindui, khususnya hidangan kegemarannya.
“Masakan ibu yang paling saya rindui ialah ketam cili. Rasanya sangat sedap sehingga setiap kali memakannya, kita akan menikmati setiap titisan kuahnya. Itulah hidangan kegemaran saya yang paling saya rindui. Walaupun kami cuba meniru resipinya, rasanya tetap tidak sama seperti masakan ibu. Sentuhan ibu itu tidak dapat digantikan,” katanya.
Mengulas tentang proses menghadapi kehilangan, Ili mengakui ia bukan sesuatu yang mudah kerana perlu berhadapan semula dengan emosi yang mendalam.
“Proses ini sangat emosional bagi saya kerana saya terpaksa berhadapan semula dengan perasaan kehilangan itu, seolah-olah luka lama terbuka kembali.
“Namun, saya percaya bahawa dalam menghadapi kesedihan, kita perlu merasai emosi tersebut. Selalunya kita sibuk dengan kehidupan harian sehingga kita menekan perasaan itu, tetapi suatu hari nanti ia akan muncul kembali dan kita perlu menghadapinya.
“Melalui proses ini, saya bukan sahaja menerima hakikat kehilangan ibu, tetapi juga sedang melalui proses penyembuhan,” jelasnya.










