PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon, Datuk Remy Ishak, Datin Ezza Yusof memaklumkan suaminya mengalami kemalangan ketika menjalani sesi penggambaran.
Detik cemas itu dikongsikan oleh Ezza menerusi sebuah hantaran di Threads selain memohon orang ramai untuk mendoakan keadaan suaminya.
“Doakan suami saya, Remy Ishak, yang mengalami kemalangan di set. Semoga cepat sembuh dan dia boleh beraksi semula! Awak boleh lakukannya, sayang,” katanya.
Bagaimanapun, usahawan tersebut tidak memberitahu maklumat terperinci mengenai punca kemalangan mahupun kecederaan yang dialami oleh Remy.
Sementara itu, pelakon filem Pulang tersebut turut memuat naik perkongsian dirinya kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital sekitar Kota Tinggi.
“Memang sudah boleh agak benda nak jadi. Hari pertama jalani sesi penggambaran di Kota Tinggi masuk hospital,” katanya ringkas di Instagram Story (Igs).
Selain Remy, pelakon Amir Nafis juga antara yang terlibat dalam kemalangan tersebut dan difahamkan sedang mengalami trauma.










