RAZIB Salimin 66, antara pelopor bidang aksi dan lagak ngeri yang berpengalaman luas dalam lapangan tersebut.
Kepakaran beliau yang terbentuk selepas mengumpul pengalaman hampir tiga dekad menjadikannya anak jati Melaka ini sentiasa menjadi rujukan dan pilihan pengarah dan penerbit untuk menjayakan babak lasak dan ngeri dalam filem.
Razib boleh dikatakan insan terpilih untuk berkecimpung dalam bidang yang berisiko tinggi ini.
Sepanjang pembabitannya, beliau puas berdepan pengalaman berbahaya yang ada antaranya hampir meragut nyawa.
Dalam perbualan kami baru-baru ini, Razib atau nama sebenarnya Mohd. Razib Salimin menceritakan salah satu pengalaman hampir maut yang dialaminya ketika menjayakan filem Remp-It 2 pada 2022.
“Dalam babak itu, Farid Kamil dilanggar sebuah kereta berwarna kuning yang dipandu dengan kelajuan 40 kilometer (km) sejam. Saya merupakan pelakon aksi yang menggantikan dia untuk babak itu.
“Sebenarnya berlaku sedikit perdebatan dengan produksi kerana saya tidak dapat spesifikasi kenderaan yang sesuai untuk saya jayakan babak itu.
“Tapi kami teruskan juga penggambarannya. Babak itu dirakam sebanyak dua kali. Jurukamera meminta saya melakukan semula babak itu kerana tidak mendapat hasil yang diinginkan pada rakaman pertama.
“Pada rakaman kedua, tiba-tiba saya pitam dan tercampak di atas jalan raya ketika kereta itu sedang bergerak. Saya hanya sedarkan diri selepas 10 minit. Kru produksi menyangka saya sudah meninggal dunia.
Disebabkan kejadian itu, saya mengalami luka parah di berdekatan mata sebelah kanan dan segera memerlukan jahitan,” kongsinya.

Kata Razib, kru produksi menyangkakan beliau telah meninggal dunia disebabkan ketiadaan nadi dan mengalami kecederaan parah di bahagian muka.
“Kalau ikutkan memang nyaris maut kerana selepas pitam itu, saya tercampak dan wajah saya terhentak atas jalan raya.
“Saya yang menyaksikan sendiri rakaman itu memang melihat diri saya ketika saat tidak sedarkan diri sebelum terjatuh itu, ibarat tak bernyawa,” kongsinya.

BEKAS POLIS, PENGAWAL PERIBADI
Anak kelahiran Melaka ini memulakan kerjaya dalam bidang kepolisan pada usia 19 tahun dengan mula berkhidmat di Pusat Latihan Polis di Kuching, Sarawak selama lima tahun.
Beliau yang juga atlet sukan ragbi bagi pasukan polis Sarawak mendapat pertukaran ke Kuala Lumpur apabila diserap sebagai pemain ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ibu negara.
“Selepas 10 tahun berkhidmat untuk PDRM, saya kemudian beralih bidang menjadi pengawal peribadi pada 1990. Ketika itu saya berusia awal 30-an,” katanya.
Razib mula memasuki bidang lakonan aksi lasak dan lagak ngeri selepas menerima ajakan seorang rakan yang juga seorang pengarah filem.
“Saya kemudiannya menjinak-jinakkan diri dalam dunia pengarahan, bermula sebagai penolong pengarah.
“Ketika itu, lapangan aksi lasak ini kebanyakannya dipelopori oleh orang Cina. Saya lihat tidak ramai pembabitan anak Melayu.
“Justeru saya terpanggil untuk berkecimpung secara sepenuh masa dalam bidang aksi lasak dan pada masa sama, melatih anak Melayu dalam bidang itu,” ujarnya.

BAYARAN RENDAH
Disoal tentang penambahbaikan, Razib berharap agar pelakon lagak ngeri di Malaysia menerima kadar bayaran setimpal dengan usaha mereka.
Katanya, pelakon jenis itu masih diberikan bayaran terlalu rendah.
“Tahap kualiti kerja, pada saya sangat memberangsangkan. Kemahiran semakin bagus dan meningkat.
“Cuma yang saya harapkan adalah penambahbaikan dari sudut bayaran bagi perkhidmatan pelakon lagak ngeri.
“Pelakon lagak ngeri di Malaysia masih dibayar rendah, antara RM300 hingga RM500 dua dua hingga tiga babak. Kadar itu masih rendah. Pada sudut itu, kita masih jauh ketinggalan berbanding Indonesia dan Thailand,” katanya.
Razib pada masa sama meluahkan rasa gembira dengan peningkatan pembabitan anak muda dalam bidang berkenaan.
“Pelapis semakin ramai walaupun di Malaysia kita tidak ada akademi khusus melahirkan pelakon lagak ngeri seperti di Australia, Afrika dan Amerika Syarikat.
“Usaha mencari pelapis saya gerakkan sendiri. Saya kenal pasti anak muda yang berminat dan berbakat, kemudian latih mereka.
“Saya ajar mereka disiplin dan terapkan nilai rendah diri dalam diri mereka supaya mereka sentiasa ingat, sehebat mana pun mereka, yang hebat hanyalah Allah,” kongsinya.
RAHSIA SIHAT DI USIA 66
Bintang filem Blood Brothers ini menjadi contoh kepada pelakon muda kerana pada usia 66 tahun, beliau masih mampu melakonkan babak aksi.
Kata Razib, beliau sentiasa berfikiran positif dan tidak sesekali menganggap dirinya berusia.
“66 itu hanya angka. Bila berlakon, kemampuan saya masih seperti orang muda. Tenaga dan ketangkasan saya masih sama.
“Pengarah, Syafiq Yusof pernah meminta anak saya tidak membenarkan saya melakonkan babak terlalu lasak kerana usia saya sudah lanjut.
“Tapi sebenarnya saya masih berkemampuan. Saya sendiri yang akan lakukan aksi berbahaya seperti meluncur dengan motosikal atau dilanggar kereta yang dipandu laju.
“Pada usia lebih enam dekad saya boleh melakukannya,” kongsinya.
Disoal tentang amalan sihat, Razib menjelaskan beliau sentiasa melazimi zikir dan selalu memulakan hari dengan mengenal diri sebagai hamba Allah yang maha esa.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya masih sihat. Malah selepas melakonkan aksi lasak, saya tidak mengalami masalah dalaman atau sakit badan.
“Saya mengamalkan zikir untuk meminta perlindungan Allah. Saya bangun pagi, tengok cermin, beri salam dan buat pengakuan yang saya ini hamba Allah. Latih diri dengan amalan tersebut,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Razib juga memaklumkan yang dia mengawal jumlah makan untuk sihat dan bertenaga di usia lebih 60.
“Saya tidak berpantang pemakanan. Tetapi amalkan makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Bila amalan itu kita buat setiap hari, nescaya kita akan mendapat perlindungan Allah,” ujarnya.









