Nadzmi Adhwa cemas dengar bunyi tembakan di kem pelarian - Utusan Malaysia

Nadzmi Adhwa cemas dengar bunyi tembakan di kem pelarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Dengar bunyi ‘pap pap’, pemandu dan pengiring kami suruh masuk van cepat-cepat. Rupanya itu bunyi senjata,”

Demikian cerita pelakon dan aktivis kemanusiaan, Nadzmi Adhwa semasa menceritakan pengalamannya sepanjang memberikan bantuan kemanusiaan di Syria. Bercerita lanjut, pada waktu itu, dia yang mewakili Aryana Care bersama sekarelawan lain dari pertubuhan bukan kerajaan Cinta Syria Malaysia sedang berada di sempadan Lubnan, iaitu kawasan yang pernah dibom tentera Israel sebelum ini.

Ketika sedang meninjau keadaan di sana, tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan seakan-akan mercun bertubi-tubi. Kemudian pemandu mereka menyuruh semua sukarelawan untuk masuk ke dalam van secepat mungkin bagi tujuan keselamatan.

“Kami dengar bunyi tembakan ‘pap! pap! pap!’. Mula-mula saya ingatkan bunyi mercun, tapi rupanya itu bunyi senapang AK-47. Kami nampak sendiri orang pegang senjata itu.

“Kami terus masuk van cepat-cepat. Di Syria ini, budak kecil pun ada yang pegang senjata, orang dewasa apatah lagi. Memang ramai yang bersenjata,” tambahnya.

Walaupun berdepan dengan situasi yang mencemaskan, Nadzmi bersyukur kerana tiada perkara buruk yang berlaku kepada pasukannya.

“Nak kata cemas, memang cemaslah. Kita tak boleh fikir apa, terus masuk van saja. Alhamdulillah, semua pasukan kami selamat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai usahanya menyampaikan bantuan berupa makanan dan barangan basah di sana, pelakon Hati Perempuan itu mengakui tidak mudah untuk penduduk di Syria terutama mereka yang tinggal di kem pelarian yang serba kekurangan untuk meneruskan hidup.

Apatah lagi kini mereka sedang mengalami musim sejuk di mana suhu boleh mencecah sehingga 8 darjah celsius.

“Keadaan di sini memang sejuk. Kami banyak memberi fokus bantuan seperti barangan basah iaitu ayam, air, yogurt dan juga daging,” kongsi Nadzmi ketika dihubungi Utusan Malaysia dalam keadaan jaringan internet yang terbatas.

Cerita Nadzmi, antara tempat yang dikunjungi ialah Kem Pelarian Yarmouk yang sangat padat menempatkan ribuan penduduk. Menurutnya, kem tersebut dihuni oleh pelarian Palestin dan Syria setelah kediaman mereka hancur akibat serangan bom oleh kerajaan terdahulu.

Tidak hanya menghulurkan bantuan, malah mereka juga akan memasakkan hidangan buat penduduk di sana.

“Pada sesi petang, kami masakkan mereka chicken kabsa (nasi Arab ayam). Itu memang makanan yang mereka selalu makan di sini. Kami masak dan agihkan kepada setiap keluarga.

“Satu keluarga itu boleh makan dalam lima ke enam orang. Kita bagi nasi yang masih panas, air dan juga seekor ayam bagi setiap bungkusan,” jelasnya.

Keadaan khemah daif, anak yatim menginsafkan Nadzmi

Memberi bantuan ke wilayah konflik membuka mata bapa kepada dua orang anak ini untuk lebih bersyukur apalagi selepas melihat ramai anak yatim yang tinggal di kem pelarian selepas ibu bapa mereka syahid dalam peperangan.

“Banyak benda yang menyedihkan. Saya tengok anak-anak kecil, anak yatim yang kehilangan mak ayah. Ramai ibu tunggal yang suaminya telah syahid. Mereka hidup dalam serba kekurangan.

“Mereka makan apa yang orang bagi sahaja. Duduk pula dalam khemah yang daif. Walaupun sekarang mereka dikatakan sudah merdeka, tapi rumah-rumah banyak yang hancur,” kata Nadzmi.

Proses membina semula kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah buat penduduk Syria. Kekurangan dana menyebabkan usaha membaik pulih kediaman terbantut.

“Nak baik pulih rumah macam mana kalau duit pun tak ada? Peluang pekerjaan pun sangat terhad di sini. Mereka sebenarnya sangat ingin bekerja, cuma peluang itu yang tiada,” jelasnya lagi.

Nadzmi juga sempat berkongsi aspirasi para pelarian yang mahu berdikari. Mereka tidak mahu selamanya mengharap bantuan, sebaliknya memerlukan modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“Mereka minta kalau boleh kita bantu untuk mulakan perniagaan. Dengan itu, mereka boleh bekerja dan menyara keluarga sendiri.

“Kebanyakan pelarian dari Lubnan dan Turki sudah mula balik semula ke Syria sebab negara ini sudah merdeka. Tapi itulah, kehidupan mereka tetap sangat teruk buat masa ini,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN