KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua dekad menyepi, pelakon Baizura Kahar akhirnya kembali menghiasi layar kaca menerusi drama bersiri Keluarga Iskandar 3, sekali gus membuktikan minatnya terhadap dunia lakonan tidak pernah padam.
Menerusi perkongsian di Threads, Instagram dan Facebook, ramai peminat meluahkan rasa teruja menyaksikan kemunculan semula Baizura yang kali terakhir berlakon menerusi filem Sepi sekitar 2007 atau 2008.
Menurut Baizura, meskipun berehat panjang hampir 17 hingga 18 tahun, api kecintaannya terhadap seni lakonan sentiasa membara dalam diri.
“Sebenarnya minat berlakon tidak pernah hilang. Dari dulu lagi berlakon adalah satu keghairahan, minat yang sentiasa ada dalam diri saya.
“Walaupun saya memilih untuk bekerja selepas tamat pengajian dan membina kehidupan berkeluarga, rasa cinta terhadap lakonan itu tetap ada,” katanya.
Baizura berkata, ketika di universiti, lakonan menjadi sumber untuk menampung perbelanjaan pengajian. Namun selepas menamatkan pengajian, dia membuat keputusan untuk memberi fokus kepada kerjaya dan keluarga.
“Dulu saya berlakon untuk menampung perbelanjaan di universiti. Apabila sudah tamat belajar, saya pilih untuk bekerja. Tapi jauh di sudut hati, saya tahu satu hari nanti saya akan kembali jika ada peluang yang tepat,” ujarnya.
Kini, apabila anak-anak semakin membesar, Baizura merasakan inilah waktu paling sesuai untuk kembali aktif, namun dengan syarat naskhah yang ditawarkan benar-benar bersesuaian.
“Bagi saya, comeback ini bukan sekadar mahu muncul semula. Saya perlu pastikan projek itu tepat dan sesuai dengan diri saya,” jelasnya.
Dalam Keluarga Iskandar 3 terbitan KL Motion Pictures Sdn Bhd, Baizura memegang watak Dr Sofea, isteri kepada Alan. Katanya, keselesaan bekerja dengan produksi sama termasuk pengarah dan penulis skrip, Wan Hazliza Wan Zainuddin, memudahkan proses penyesuaian semula.
“Saya sudah biasa bekerja dengan KL Motions dan Wan Hazliza, jadi saya selesa. Saya kenal gaya penulisan skrip dan komedinya.
“Projek ini juga tidak terlalu berat, jadi saya anggap ia batu loncatan terbaik untuk saya kembali aktif,” katanya.
Baizura turut menyatakan keterujaannya untuk terus menerima tawaran lakonan sekiranya ada projek yang benar-benar ‘bercakap’ dengan jiwanya.
“Saya seronok kembali berlakon. Jika ada tawaran dan projek yang sesuai, yang speaks to me, saya akan terima,” katanya.
Keluarga Iskandar 3 bersiaran setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria serta boleh distrim menerusi Astro GO dan sooka.










