KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini tampil memberikan pandangan berhubung isu hangat di media sosial membabitkan biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dikatakan menunaikan solat tanpa memakai telekung.
Rita atau nama penuhnya, Rita Rudaini Mohd. Mokhtar, 50, berkata, pakaian yang dikenakan oleh penyanyi tersohor itu sudah memadai serta menepati syarat sah solat iaitu menutup aurat dengan sempurna.
Menurutnya, tidak menjadi kesalahan untuk menunaikan solat tanpa telekung selagi pakaian yang dipakai memenuhi tuntutan syarak.
“Ada sajalah manusia ini. Yang asyik bertanya itu, solat atau tidak? Kalau solat, mesti tahu syarat sah solat.
“Apa sahaja pakaian yang menutup aurat dengan sempurna adalah sah digunakan ketika solat. Takkan itu pun tidak tahu?” katanya.
Dalam pada itu, Rita turut menyindir sikap segelintir pihak yang gemar mencari kesalahan orang lain tanpa menilai diri sendiri terlebih dahulu.
“Hidup ini, kalau terlalu suka mencari silap orang sampai lupa melihat diri sendiri di cermin, itu yang jadi masalah,” ujarnya berseloroh.
Terdahulu, tindakan Siti Nurhaliza yang dilihat menunaikan solat tanpa telekung mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen sehingga menjadi topik hangat di media sosial.










